SHAH ALAM - Jenama, agensi dan pelanggan perlu turut bertanggungjawab terhadap kandungan promosi yang dihasilkan pempengaruh, sekali gus bukannya meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pencipta kandungan.
Perkara itu antara isu dibincangkan dalam cadangan Garis Panduan Pempengaruh dan Kerjasama Jenama oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) menerusi Dialog Dewan Bandaraya di Kuala Lumpur pada Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood berkata, piawaian yang berkesan perlu mengambil kira realiti industri dan peranan setiap pihak dalam menghasilkan kandungan promosi.
Menurutnya, tanggungjawab tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya kepada individu yang muncul di hadapan kamera kerana kandungan dihasilkan mungkin berdasarkan taklimat agensi, dakwaan pelanggan atau permintaan jenama.
“Pencipta kandungan mungkin bekerja berdasarkan taklimat yang disediakan agensi, membuat dakwaan yang diberikan pelanggan atau didesak untuk menyiarkan sesuatu yang mereka tidak selesa kerana jenama mahukannya begitu,” katanya.
Dialog bertemakan “Ruang Anda. Suara Anda. Piawaian Anda” pada Khamis itu menghimpunkan pencipta kandungan, pempengaruh, Pemimpin Pendapat Utama (KOL), jenama, agensi dan pihak berkepentingan industri lain bagi mendapatkan pandangan mengenai cadangan garis panduan berkenaan.
Perbincangan turut menyentuh isu hubungan komersial yang tidak didedahkan, dakwaan produk yang dibesar-besarkan serta penyebaran kandungan berbahaya atau mengelirukan dalam talian.
Cadangan garis panduan itu juga bertujuan memperjelas amalan pendedahan hubungan berbayar atau tajaan, kesahihan dakwaan, kesesuaian kandungan untuk khalayak, tanggungjawab melibatkan kanak-kanak dan golongan muda serta penggunaan kandungan dijana kecerdasan buatan (AI).
Sesi berkenaan turut mendapatkan pandangan mengenai cadangan Sub-Kod Permainan CMCF, khususnya berkaitan keselamatan kanak-kanak, persekitaran permainan berbilang pemain dalam talian, perbelanjaan dalam permainan dan interaksi berbahaya.
Justeru, Mediha berkata, garis panduan yang lebih jelas dapat memberikan keyakinan kepada pencipta kandungan untuk menolak permintaan melampaui batas, termasuk membuat dakwaan tidak dapat disahkan atau mempromosikan kandungan yang tidak sesuai untuk khalayak mereka.
Sementara itu, Pengerusi CMCF, Datuk Rafiq Razali berkata, kawal selia kendiri yang berkesan bergantung pada penglibatan sebenar industri dalam membentuk piawaian yang perlu dipatuhi.
Menurutnya, pencipta kandungan, platform, jenama, agensi dan organisasi media beroperasi dalam persekitaran yang berubah dengan pantas, justeru rangka kerja yang dibangunkan perlu praktikal, boleh dipercayai dan mampu berkembang seiring perubahan industri.
Rafiq berkata, khalayak perlu yakin terhadap kandungan yang digunakan, manakala pencipta kandungan memerlukan kejelasan mengenai amalan bertanggungjawab dan perniagaan pula memerlukan rangka kerja yang membolehkan mereka berinovasi dengan yakin.
Kedua-dua cadangan iaitu Garis Panduan Pempengaruh dan Kerjasama Jenama serta Sub-Kod Permainan, kini dibuka untuk rundingan awam sehingga 24 Oktober 2026.
Maklum balas yang diterima menerusi rundingan awam dan Dialog Dewan Bandaraya akan dipertimbangkan sebelum kedua-dua set piawaian itu dimuktamadkan.
Dialog itu turut membincangkan aspek kesejahteraan pencipta kandungan dan tanggungjawab platform, dengan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) di bawah Kementerian Kesihatan mengambil bahagian menerusi sesi perkongsian ringkas dan reruai interaksi.