Empat projek skala besar rancakkan pembangunan Parlimen Tambun

Iklan
Mohamad Hairul Amir

IPOH – Sekurang-kurangnya empat projek berskala besar akan dilaksanakan di Parlimen Tambun dalam usaha memperkukuh pembangunan infrastruktur serta meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, antara projek utama yang bakal dimulakan ialah pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Meru Raya selain jajaran Lebuhraya Ipoh-Lumut baharu yang kini dalam pelaksanaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, proses memuktamadkan pelantikan kontraktor bagi projek perumahan mampu milik di Chemor juga sedang berjalan, melibatkan pembinaan kira-kira 500 unit rumah mesra rakyat.

“Kita ada tiga hingga empat projek besar yang sedang dilaksanakan, termasuk Klinik Manjoi yang akan dirasmikan dalam masa terdekat,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pasukan Bomba Komuniti KAMI (Komuniti Anak Manjoi Ipoh) Gugusan Manjoi di Dewan Komuniti Sungai Tapah, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Akmar Hisham Basor.

Iklan

Mohamad Hairul Amir berkata, kesemua projek berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memacu pembangunan kawasan tersebut yang diwakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Banyak projek yang sedang dan akan dilaksanakan, dan ini antara yang terbaharu sedang digerakkan,” katanya.

Seramai 26 anggota telah menyertai fasa awal penubuhan Pasukan Bomba Komuniti KAMI Gugusan Manjoi yang ditubuhkan, Jun lalu.

Mengulas penubuhan Bomba Komuniti KAMI, Mohamad Hairul Amir berkata, inisiatif itu penting dalam membantu operasi BBP Meru Raya yang kini menampung kira-kira 350,000 penduduk di kawasan liputannya.

Menurutnya, kewujudan pasukan sukarelawan itu mampu mempercepatkan tindakan awal terutama di kawasan berisiko tinggi seperti Gugusan Manjoi.

"Bomba Meru Raya perlu meliputi kawasan yang luas dengan jumlah penduduk yang ramai, jadi dengan adanya bomba komuniti ini dapat membantu menampung keperluan terutama di Kampung Manjoi," katanya.

Tambah beliau, Pusat Khidmat Parlimen Tambun akan terus menyokong usaha tersebut termasuk menyalurkan bantuan peralatan dan keperluan kepada pasukan sukarelawan.

Anggota dan BBP Meru Raya ketika menyampaikan taklimat dan demonstrasi latihan pemadaman kebakaran kepada Pasukan Bomba Komuniti KAMI Gugusan Manjoi.

Sementara itu, Ketua Pasukan Bomba Komuniti KAMI Gugusan Manjoi, Amir Hamzah Ismail berkata, seramai 26 anggota telah menyertai fasa awal penubuhan pasukan berkenaan, Jun lalu.

Menurutnya, jumlah itu dijangka meningkat kepada kira-kira 40 orang susulan pembukaan pendaftaran baharu pada majlis tersebut.

Jelasnya, idea penubuhan pasukan itu tercetus susulan kekangan untuk membina balai bomba baharu di kawasan Gugusan Manjoi yang padat penduduk serta terhad dari segi lokasi.

“Dalam radius 15 kilometer, terdapat kekangan untuk mewujudkan balai bomba baharu. Jadi bomba komuniti ini menjadi langkah awal sebelum ia boleh dinaik taraf sebagai bomba sukarelawan lengkap dengan jentera sendiri pada masa hadapan," katanya.

Mengikut rekod, sepanjang tempoh tiga tahun, kawasan Manjoi merekodkan 30 kes kecemasan termasuk kebakaran dengan 15 kes pada 2024, lapan kes pada 2025 dan tujuh kes setakat tahun ini.