'Saya tiada masalah dengan Anwar' – Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid (tengah) bergambar bersama kontinjen negeri yang bertanding pada Karnival Sukan Orang Asli Peringkat Kebangsaan di Stadium EduCity Iskandar Puteri pada Ahad.

ISKANDAR PUTERI - “Saya tidak ada sebarang masalah dengan Perdana Menteri."

Demikian tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan hubungan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin tegang.

Iklan
Iklan

Ahmad Zahid berkata, tiada sebarang masalah sama ada dari segi hubungan peribadi mahupun rasmi antara beliau dengan Anwar.

“Tidak ada sebarang permasalahan di antara kami ketika berada dalam mesyuarat Kabinet ataupun dalam majlis atau acara rasmi,” katanya.

Iklan

Sebelum ini, sebuah portal berita memetik sumber yang mendakwa hubungan antara Anwar dan Ahmad Zahid semakin tegang susulan beberapa isu, termasuk keputusan BN menentang Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

Keadaan itu, dakwa sumber terbabit turut dipengaruhi tekanan daripada DAP supaya reformasi institusi dilaksanakan menjelang akhir tahun di sebalik Anwar, selaku perdana menteri dan perlu mendapatkan sokongan blok Ahmad Zahid mendapatkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat sebelum pindaan perlembagaan dapat dibuat.

Iklan

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menegaskan, Barisan Nasional (BN) sebagai salah satu komponen dalam Kerajaan Perpaduan akan terus mengutamakan kestabilan politik negara sehingga tamat penggal pemerintahan.

Katanya, proses membuat keputusan dalam kerajaan dilakukan secara profesional bagi memastikan kestabilan politik terus terpelihara.

“Yang penting bagi Barisan Nasional sebagai salah sebuah komponen di dalam Kerajaan Perpaduan adalah kestabilan politik di negara ini sehingga akhir penggal.

“Kami melakukan proses membuat keputusan dan mencapai keputusan secara profesional,” katanya.

Menurutnya, kestabilan politik penting bagi mengelakkan sebarang permasalahan yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur asing serta usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita tahu bahawa resolusi Perhimpunan Agung UMNO telah menetapkan bahawa kita berada dalam Kerajaan Perpaduan ini hingga tamat tempoh dan ini yang kami lakukan supaya terdapat kestabilan politik sepenuhnya.

“Ia bagi mengelakkan sebarang permasalahan terutama daripada pelabur-pelabur luar negara, FDI (pelaburan langsung asing) dan juga untuk mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.