Penyeludup beras dipercayai lemas di Sungai Golok

Iklan
Lokasi di tebing Sungai Golok yang menjadi sasaran penyeludup bagi menyeludup barangan. Foto: PGA

TUMPAT – Seorang lelaki dipercayai penyeludup beras dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun ke Sungai Golok bagi melarikan diri daripada serbuan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam satu serbuan berdekatan Stor Haram Pok Ngoh, Pisau Raut di sini petang Sabtu.

Operasi membanteras kegiatan penyeludupan itu turut menemukan lebih 1.2 tan metrik beras dari Thailand bernilai RM5,412 yang ditinggalkan dalam perahu.

Iklan
Iklan

Dalam kejadian kira-kira jam 3.25 petang itu, sepasukan anggota Cawangan Risik Batalion 8 PGA yang menjalankan rondaan di bawah Op Taring Wawasan Kelantan mengesan perahu dinaiki dua lelaki terbabit dalam keadaan mencurigakan berhampiran tebing Sungai Golok.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kedua-dua suspek bertindak terjun ke dalam sungai sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan sebelum berenang ke arah tebing Thailand.

Iklan

“Seorang daripada mereka berjaya meloloskan diri ke tebing Thailand, manakala seorang lagi tenggelam dan hilang daripada pandangan serta dipercayai lemas.

“Anggota bertugas cuba mengendalikan perahu berkenaan untuk memberikan bantuan kepada mangsa, namun usaha itu gagal apabila kipas enjin sangkut tersangkut pada kain dan tidak dapat digunakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Menurut beliau, pemeriksaan ke atas perahu tersebut menemui 1,178 kilogram (kg) beras dan 100 kg beras pulut yang dipercayai diseludup dari Thailand.

“Pasukan turut merampas sebuah perahu bersama sebuah enjin galah yang digunakan dalam kegiatan penyeludupan itu,” katanya.

Beliau berkata, kejadian dimaklumkan kepada Pegawai Pemerintah Medan Op Taring Wawasan Kelantan serta Pegawai Turus Gerakan Briged Tenggara PGA bagi tindakan susulan.

“Selain itu, Bilik Gerakan IPD Tumpat, Ketua Polis Balai Kuala Jambu dan Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor turut dimaklumkan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat serta siasatan lanjut,” katanya.

Kes masih dalam tindakan pihak berkuasa bagi mengesan mangsa yang dipercayai lemas dan siasatan berhubung kegiatan penyeludupan berkenaan masih diteruskan.