SHAH ALAM - Laporan Kemajuan Malaysia100 perlu diwujudkan secara tahunan bagi mengukur kemajuan tanpa mengira siapa menjadi Perdana Menteri atau parti mana membentuk kerajaan.
Pengerusi Pertubuhan Negarawati Tanahair (Negarawati), Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, mekanisme itu antara enam cadangan yang dikemukakannya bagi memastikan gagasan #Malaysia100 mempunyai kesinambungan.
"Adakan Laporan Kemajuan Malaysia100 secara tahunan. Jika kita benar-benar mahu gagasan ini melampaui kerajaan dan kepartian, rakyat mesti ada mekanisme untuk mengukur kemajuan tanpa mengira siapa menjadi Perdana Menteri atau parti mana membentuk kerajaan," katanya kepada Sinar Ahad.
Sebelum ini kempen #Malaysia100 dilancarkan sempena Hari Kebangsaan dengan misi menggunakan tempoh setahun hingga 31 Ogos 2027 untuk menghimpunkan pandangan rakyat dan menentukan hala tuju negara sebelum Malaysia memasuki perjalanan 30 tahun menuju usia 100 tahun kemerdekaan pada 2057.
Menurut Pengerusi Yayasan Sinar Untuk Malaysia yang juga Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub, kempen itu mahu membuka ruang dialog nasional melibatkan rakyat tanpa mengira kaum, agama, latar belakang atau fahaman politik bagi membayangkan bentuk Malaysia yang mahu diwariskan kepada generasi seterusnya.
Mengulas lanjut, Bibi Sunita berkata, cadangan lain termasuk menubuhkan Majlis Malaysia100 yang benar-benar bebas dan rentas sektor.
Katanya, ia melibatkan ahli akademik, profesional, masyarakat sivil, belia, wanita, tokoh masyarakat, sektor perniagaan, Sabah dan Sarawak serta pelbagai kelompok rakyat yang bukan dikuasai kerajaan atau mana-mana parti politik.
"Dialog nasional mesti hasilkan data, bukan sekadar ribuan komentar," katanya.
Ujarnya, setiap cadangan utama mesti melalui proses-proses yang dikenal pasti seperti masalah, data, analisis, cadangan, keutamaan, pelaksanaan, tempoh masa, pemantauan dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
"Tanpa rantaian ini, kita hanya kumpul pendapat," katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan supaya Dashboard Malaysia100 diwujudkan yang membolehkan rakyat mengetahui berapa banyak cadangan diterima, apakah isu utama, cadangan mana diterima atau ditolak serta sebab keputusan tersebut.
Beliau berkata, pada 31 Ogos 2027, hasilnya mestilah sebuah dokumen yang konkrit.
"Saya mencadangkan Malaysia100 National Aspirations & Reform Blueprint 2027–2057 yang lengkap dengan sasaran jangka pendek, sederhana dan panjang menuju 2030, 2040, 2050 dan 2057.
"Saya juga ingin tegaskan satu perkara tidak boleh dipisahkan daripada perbincangan mengenai masa depan negara. Kita tidak boleh tentukan Malaysia pada 2057 tanpa memahami Malaysia sebelum dan sejak 1957.
"Perjalanan menuju #Malaysia100 mestilah berpaksikan sejarah pembentukan negara, Perlembagaan Persekutuan, prinsip kedaulatan undang-undang serta realiti masyarakat majmuk negara ini.
"Kemajuan tidak bermaksud kita perlu memadam sejarah, reformasi tidak bermaksud kita perlu kehilangan identiti dan mencari konsensus baharu tidak bermaksud asas-asas negara yang telah dipersetujui boleh diketepikan sesuka hati," katanya.
Beliau menambah, #Malaysia100 mesti menjadi jambatan antara sejarah yang membentuk negara, masalah yang sedang dihadapi dan masa depan yang mahu dibina.
Bibi Sunita berkata, beliau menyokong usaha membuka ruang kepada rakyat untuk turut menentukan hala tuju negara dan melihat #Malaysia100 sebagai peluang untuk masyarakat menyumbang pandangan.