Feri Sri Tanjong 1: Legasi JKR perkukuh hubungan Malaysia-Thailand

Iklan
Alexander menyempurnakan Majlis Perasmian dan Peluncuran Feri Sri Tanjong 1 di Feri Pengkalan Kubor, pada 9 Ogos 2025.

DI utara Kelantan, Pengkalan Kubor bukan sekadar sebuah pekan sempadan, lokasinya yang dipisahkan oleh Sungai Golok dari Tak Bai, Narathiwat, Thailand menjadikan kawasan itu antara pintu masuk penting yang menghubungkan dua negara berjiran sejak puluhan tahun lalu.

Bagi ribuan penduduk yang berulang-alik setiap hari, sama ada untuk bekerja, berniaga, melawat keluarga mahupun menjalankan urusan rasmi, perkhidmatan feri merupakan nadi pengangkutan yang tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan mereka.

Iklan
Iklan

Di sebalik kelancaran operasi itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) menerusi Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ) memainkan peranan penting memastikan perkhidmatan rentas sempadan ini terus beroperasi dengan selamat, cekap dan berdaya harap.

Kini, legasi tersebut diteruskan menerusi pengoperasian Feri Sri Tanjong 1, sebuah feri moden yang menggantikan Feri Sri Tanjong selepas lebih tiga dekad berjasa.

Iklan

Kehadirannya bukan sahaja memperbaharui aset pengangkutan negara, malah menjadi simbol komitmen kerajaan dalam memperkukuh hubungan Malaysia-Thailand serta menyokong pembangunan ekonomi di kawasan sempadan.

Sejarah perkhidmatan feri Pengkalan Kubor bermula hasil keputusan Jawatankuasa Pembangunan Sosioekonomi Bersama Malaysia Thailand (SEDEC) pada 11 Disember 1982 yang bersetuju supaya kedua-dua kerajaan menyediakan sebuah feri dengan spesifikasi yang sama bagi memudahkan pergerakan rentas sempadan.

Iklan

Susulan persetujuan itu, Malaysia membina Feri Sri Tanjong di Pulau Pinang sebelum mula beroperasi pada 1 April 1990. Feri berkenaan kemudiannya dirasmikan pada 16 Ogos 1990 bersempena pembukaan Kompleks Imigresen, Feri dan Rumah Api Malaysia-Thailand, manakala Thailand mengendalikan feri Taba I.

Alexander (kiri) bersama Timbalan Gabenor Wilayah Narathiwat Amirut Bua-On pada Majlis Perasmian dan Peluncuran Feri Sri Tanjong 1 di Pengkalan Kubor.

Sejak hari pertama beroperasi, Feri Sri Tanjong menjadi penghubung utama antara Pengkalan Kubor dan Tak Bai dengan jarak pelayaran kira-kira 400 meter.

Walaupun perjalanan mengambil masa hanya beberapa minit, impaknya amat besar kerana ia memudahkan urusan perdagangan, pelancongan, pendidikan dan sosial masyarakat di kedua-dua negara.

Operasi feri ini dilaksanakan berlandaskan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Thailand yang menggariskan pelbagai aspek termasuk waktu operasi, pengurusan hasil kutipan tambang serta mekanisme kerjasama sekiranya berlaku gangguan teknikal.

Pendekatan itu memastikan perkhidmatan kepada pengguna tidak terjejas, sekiranya salah sebuah feri mengalami kerosakan, feri negara jiran akan terus beroperasi sementara kerja pembaikan dilaksanakan oleh pemilik aset berkenaan.

Bagi JKR, pengurusan feri bukan sekadar mengendalikan operasi harian, ia turut melibatkan penyelenggaraan aset, pematuhan piawaian keselamatan maritim, pengurusan kewangan, pentadbiran dan sumber manusia yang diselaraskan oleh pasukan berpengalaman.

Anak kapal yang mengendalikan feri pula memiliki Perakuan Kekompetenan (Certificate of Competency) yang diiktiraf Jabatan Laut Malaysia, sekali gus memastikan setiap pelayaran memenuhi standard keselamatan antarabangsa.

Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan

Selepas lebih 30 tahun beroperasi, Feri Sri Tanjong terus menjalani penyelenggaraan berkala bagi memastikan keupayaan operasi berada pada tahap terbaik.

Antara kerja naik taraf terbesar ialah penggantian dua enjin utama pada tahun 2013 bagi meningkatkan kecekapan dan kebolehpercayaan feri.

Selain itu, kerja penyelenggaraan berkala termasuk proses dry docking dilaksanakan bagi memastikan aset sentiasa mematuhi syarat pembaharuan Sijil Penumpang yang ditetapkan Jabatan Laut Malaysia.

Walaupun kos penyelenggaraan meningkat seiring usia aset, JKR terus komited melaksanakan penyelenggaraan tanpa kompromi kerana aspek keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan.

Komitmen ini membolehkan perkhidmatan feri terus menjadi pilihan utama masyarakat setempat selama lebih tiga dekad.

Sementara itu, seperti sektor pengangkutan lain, operasi feri turut menerima kesan besar ketika pandemik Covid-19 melanda dunia.

Alexander (tengah) ketika mengadakan lawatan.

Penutupan pintu sempadan antarabangsa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan operasi feri dihentikan sepenuhnya pada tahun 2021 selepas kutipan hasil menjunam dengan ketara pada tahun sebelumnya.

Namun, pembukaan semula sempadan membawa sinar baharu apabila aktiviti ekonomi kembali rancak.

Penduduk baru kembali menggunakan perkhidmatan feri untuk urusan harian, manakala sektor perdagangan dan pelancongan rentas sempadan kembali pulih secara berperingkat.

Pengalaman tersebut menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh infrastruktur sedia ada agar lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan. Feri Sri Tanjong 1 lambang transformasi.

Bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan, kerajaan meluluskan pembinaan Feri Sri Tanjong 1 dengan kos hampir RM7.9 juta.

Feri baharu itu dibina oleh Sumber Samudra Sdn Bhd di Sitiawan, Perak bermula Mac 2024 sebelum diserahkan kepada JKR pada 28

Februari 2025 dan memulakan operasi pada 11 April tahun sama. Dengan reka bentuk lebih moden dan teknologi terkini, Feri Sri Tanjong 1 mampu membawa 58 penumpang bersama enam kru, selain memuatkan sehingga lapan kenderaan ringan atau sebuah bas dalam satu perjalanan.

Feri ini turut dilengkapi sistem enjin dan jana kuasa yang lebih cekap serta mesra alam bagi memastikan operasi lebih efisien, selamat dan selesa kepada pengguna.

Pelaburan ini bukan sekadar menggantikan aset lama, tetapi menjadi manifestasi kesungguhan kerajaan memperkukuh kemudahan awam yang memberi impak langsung kepada rakyat.

Mercu tanda baharu Pengkalan Kubor

Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi bersama Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR), Datuk Wira Ir Roslan Ismail, telah menyempurnakan Majlis Perasmian dan Peluncuran Feri Sri Tanjong 1 di Jeti Feri Pengkalan Kubor, Kelantan pada 9 Ogos 2026.

Majlis tersebut menandakan satu lagi pencapaian penting dalam sejarah perkhidmatan feri negara apabila aset baharu itu secara rasmi menjadi penghubung utama antara Malaysia dan Thailand.

Lebih daripada sebuah feri, Sri Tanjong 1 mencerminkan keupayaan JKR menyediakan infrastruktur yang memenuhi keperluan semasa serta menyokong agenda pembangunan negara.

Dengan teknologi yang lebih moden, kapasiti yang lebih baik dan tahap keselamatan yang dipertingkatkan, feri ini dijangka terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, perdagangan dan pelancongan rentas sempadan.

Dalam masa yang sama, ia mengukuhkan lagi hubungan erat Malaysia dan Thailand yang telah terjalin sejak sekian lama.

Komitmen JKR dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap, selamat dan berkualiti membuktikan bahawa pembangunan infrastruktur bukan sekadar pembinaan aset fizikal, tetapi pelaburan jangka panjang yang memberi manfaat kepada rakyat, memperkukuh daya saing negara serta memacu kesejahteraan komuniti di kawasan sempadan untuk generasi akan datang.