LIMA perlu terus diperkasa kekal relevan di pentas antarabangsa

Iklan
LIMA perlu diperkasa untuk terus kekal relevan di pentas antarabangsa

PAMERAN Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) perlu terus diperkasa bagi memastikan acara berkenaan kekal relevan serta berprestij dalam menarik penyertaan pemain industri pertahanan dari seluruh dunia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penambahbaikan terhadap keluasan tapak dan kemudahan infrastruktur perlu diberi perhatian bagi mengelakkan Malaysia berdepan risiko kehilangan penyertaan antarabangsa pada masa hadapan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, keperluan itu semakin penting memandangkan negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia kini semakin agresif menganjurkan pameran pertahanan, sekali gus menjadikan persaingan untuk menarik penyertaan syarikat serta pemain industri antarabangsa semakin sengit.

Dalam situasi tersebut, cadangan meneroka lokasi alternatif seperti Klebang, Melaka boleh dipertimbangkan untuk penganjuran LIMA pada masa hadapan sekiranya keperluan ruang dan kemudahan terus meningkat.

Iklan

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kerajaan sedang meneliti alternatif untuk menganjurkan LIMA di Melaka pada masa hadapan, namun langkah tersebut memerlukan pelaburan besar bagi memastikan infrastruktur yang diperlukan dapat disediakan dengan sempurna.

Perkara itu menunjukkan bahawa sebarang cadangan perubahan lokasi tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya memerlukan perancangan rapi dari aspek kos, kemudahan dan keupayaan tapak penganjuran.

Iklan

Mohamed Khaled turut memberi contoh penganjuran pameran pertahanan di Arab Saudi dan Abu Dhabi yang memanfaatkan kawasan tapak yang luas serta terbuka bagi membolehkan aset dan kenderaan pertahanan dipamerkan secara lebih menyeluruh.

Pada masa sama, beliau menjelaskan penganjuran Defence Services Asia (DSA) di bangunan bertingkat di Kuala Lumpur menyebabkan ruang untuk menempatkan aset dan kenderaan pertahanan lebih terhad.

Pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut wajar diberi perhatian apabila beliau berpandangan bahawa LIMA tidak seharusnya dihentikan selepas jenamanya dibina selama puluhan tahun sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Dalam konteks tersebut, usaha memperkukuh LIMA tidak semestinya bermaksud meninggalkan Langkawi. Sebaliknya, pilihan lokasi dan penambahbaikan kemudahan boleh dinilai berdasarkan keperluan pameran serta perkembangan semasa industri pertahanan.

Kerajaan juga mempunyai ruang untuk meneliti keperluan sebenar peserta dan pemain industri supaya sebarang pelaburan yang dibuat mampu menyediakan kemudahan yang lebih baik tanpa menjejaskan nilai serta identiti LIMA yang telah dibina selama ini.

Apa yang penting, perancangan awal dan penilaian menyeluruh perlu dilaksanakan bagi memastikan LIMA terus menjadi platform yang mampu menarik penyertaan antarabangsa serta mengekalkan kedudukannya sebagai antara pameran pertahanan terkemuka dunia.