KUALA LUMPUR -"Bukan niat untuk mempolitikkan isu bayaran kontraktor, sebaliknya perkara itu dibangkitkan berdasarkan fakta dan realiti yang berlaku di lapangan."
Demikian tegas kata Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apabila terdapat segelintir pihak yang mempolitikkan isu berkenaan dengan dakwaan ia sengaja dibangkitkan bagi memberi tekanan politik.
Beliau berkata, isu tersebut perlu diberi perhatian kerana kelewatan bayaran bukan sahaja memberi tekanan kepada kontraktor dan pembekal, malah menjejaskan kelancaran projek infrastruktur untuk masyarakat luar bandar.
"Bila yang bercakap tentang apapun isu adalah orang politik, ia akan jadi isu politik.
"Saya menjaga sebuah kementerian yang agak besar dan kepentingan kementerian itu harus diutamakan termasuk pemegang taruh kerana mereka rakyat di perdesaan, di luar bandar dan bagaimana jika infrastruktur, apatah lagi soal hubungan jalan raya ataupun bekalan air, bekalan elektrik tidak sampai pada mereka," katanya kepada Sinar Ahad.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Tan Sri Johan Mahmood Merican dilapor memaklumkan, seluruh peruntukan yang diperuntukkan bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sudah disalurkan sepenuhnya dan kekangan proses pembayaran kontraktor ketika ini disebabkan dana berkenaan sudah dibelanjakan sepenuhnya.
Beliau menjelaskan, Kementerian Kewangan (MoF) malah sudah meluluskan peruntukan tambahan RM300 juta bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor.
Susulan itu, Setiausaha Akhbar Menteri KKDW, Fadzmel Fadzil menegaskan, kenyataan KSP berhubung perkara tersebut tidak tepat, serta tidak menggambarkan situasi kewangan sebenar.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, isu bayaran kepada kontraktor dan pembekal tidak wajar dilihat sebagai masalah KKDW semata-mata kerana perkara sama perlu diteliti di kementerian dan agensi lain.
Malah katanya, beliau sebelum ini sudah beberapa kali menyuarakan isu tersebut termasuk secara lisan dan menerusi surat yang diserahkan secara bersemuka.
"Saya tidak mahu dalam perkhidmatan saya di kementerian itu, saya dianggap gagal sedangkan dana itu tidak sampai untuk kita lunaskan kepada mereka," katanya.