SHAH ALAM - Penentuan syurga dan neraka adalah hak mutlak ALLAH SWT semata-mata dan tiada mana-mana individu, pemimpin atau wadah politik yang mempunyai autoriti untuk menjamin laluan ke syurga.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, mendakwa sokongan kepada organisasi tertentu sebagai syarat ke syurga seolah-oleh mempertikai hak ALLAH SWT.
Menurutnya, perkara berkenaan bertentangan dengan firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 111 yang menegur sikap mendakwa syurga hanya milik kelompok sendiri.
"Syarat utama untuk meraih keredaan dan rahmat ALLAH SWT adalah keimanan yang ikhlas, ketakwaan, amalan soleh mengikut ajaran al-Quran dan al-Sunnah, bukannya borang keahlian atau sokongan kepada mana-mana bendera politik.
"Sikap mendakwa kumpulannya pasti suci manakala orang lain terkeluar daripada rahmat ALLAH SWT merupakan bentuk memuji diri sendiri dan ghuluw (sikap melampau) yang dilarang keras dalam Islam," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam ceramah Sambutan Jubli Intan 75 tahun Pas di Kota Bharu pada Jumaat berkata, seseorang boleh mendapat tempat di syurga melalui perjuangan dibawa mereka.
Walaupun mengakui parti itu sekadar sebuah pertubuhan politik beliau menegaskan wadah perjuangan mereka berteraskan Islam dan selaras dengan ajaran yang diperintahkan ALLAH SWT.
Menurut Zulkifli, parti politik hanyalah satu wasilah (alat atau perantara) usaha manusia yang tidak sunyi daripada kelemahan dan ijtihad, bukannya agama itu sendiri.
"Berpolitiklah dengan matang dan berakhlak berasaskan keadilan serta kemaslahatan ummah, tanpa menggadaikan nilai akidah dan ukhuwah Islamiah," katanya.