TELUK INTAN - Taktik sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen (ah long) menggunakan ‘keldai akaun’ terbongkar apabila dua lelaki diberkas dalam Op Vulture oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, kedua-dua suspek warga tempatan itu ditahan dalam operasi berasingan di sekitar bandar ini.
Menurutnya, tangkapan pertama dilakukan di sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Teluk Intan ketika seorang lelaki sedang melakukan transaksi pengeluaran wang.
"Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemui dua keping kad ATM dipercayai milik individu lain serta wang tunai RM300," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, hasil siasatan awal dan maklumat diperoleh, polis kemudian menyerbu sebuah premis pinjaman wang di Jalan Ah Cheong.
Katanya, dalam serbuan itu, seorang lagi lelaki ditahan dan pemeriksaan lanjut menemukan tiga lagi kad ATM serta beberapa barangan kemas disyaki emas yang dipercayai berkait dengan kegiatan disiasat.
"Keseluruhan rampasan melibatkan wang tunai, lima kad ATM pelbagai bank serta barangan kemas iaitu dua utas rantai tangan dan satu loket dengan nilai dianggarkan RM2,050," katanya.
Kok Lian berkata, kedua-dua suspek telah direman bagi siasatan kes di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 424 Kanun Keseksaan.
Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan suspek termasuk pemilik akaun bank serta rangkaian lain yang mungkin terlibat.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyerahkan atau meminjamkan akaun bank serta kad ATM kepada mana-mana pihak walaupun ditawarkan imbuhan.
"Pemilik akaun perlu menjaga kad ATM, nombor PIN dan maklumat perbankan daripada didedahkan kepada pihak lain," katanya.