Taiping intip potensi destinasi pelancongan kreatif

Iklan
Kok Lim (tujuh dari kiri) hadir merasmikan Raintown Film Festival edisi ketiga di Paragon Cinemas, Taiping Mall di Taiping pada Jumaat.

TAIPING - Penganjuran Raintown Film Festival mampu menjadi pemangkin baharu kepada ekonomi pelancongan dan industri kreatif di Taiping.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, gabungan idea kreatif, sokongan komuniti dan penglibatan sektor swasta dalam penganjuran festival itu telah memberi impak ekonomi yang lebih luas kepada sesebuah bandar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesan pengganda daripada ekonomi pelawat ini merupakan antara nilai penting dalam pembangunan industri kreatif yang mampan kerana mampu menggerakkan pelbagai sektor secara serentak.

"Apabila sesebuah festival berjaya menarik pengunjung, ia bukan sahaja memberi ruang kepada pembikin filem, tetapi turut menghidupkan hotel, restoran, premis perniagaan dan destinasi pelancongan sekitar," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Raintown Film Festival edisi ketiga di Paragon Cinemas, Taiping Mall di sini pada Jumaat.

Seramai 152 penyertaan diterima dan penjurian telah dijalankan oleh panel bersama WCE dan Raintown Film Festival sebelum majlis penutup serta penyampaian anugerah berlangsung pada Ahad ini.

Iklan

Raintown Film Festival berganding tenaga bersama IACT College dan West Coast Expressway (WCE) menerusi inisiatif 'Raintown Horizons: The IACT × WCE Student Cinematic Showcase' yang memberi ruang kepada pelajar menghasilkan filem pendek berasaskan tugasan industri sebenar dalam bentuk penceritaan kreatif.

Seramai 152 penyertaan diterima dan penjurian telah dijalankan oleh panel bersama WCE dan Raintown Film Festival sebelum majlis penutup serta penyampaian anugerah berlangsung pada Ahad ini.

Mengulas lanjut, Kok Lim berkata, perkembangan berterusan Raintown Film Festival yang kini menerima peningkatan penyertaan filem saban tahun menunjukkan bahawa inisiatif tempatan berpotensi berkembang menjadi acara pelancongan tahunan yang mampu menarik perhatian lebih luas.

Beliau turut menekankan bahawa kekuatan festival itu turut berpunca daripada identiti unik Taiping sebagai bandar bersejarah yang mempunyai pelbagai 'pertama' di Malaysia, termasuk landasan kereta api pertama, muzium pertama, zoo pertama serta Taman Tasik Taiping yang diiktiraf sebagai taman awam tertua di negara ini.

"Taiping tidak perlu mengorbankan identitinya untuk maju. Sebaliknya, kreativiti perlu menjadi jambatan yang menambah nilai kepada warisan sedia ada.

"Gabungan elemen sejarah, kehijauan alam, seni bina serta budaya setempat menjadikan Taiping sangat sesuai untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan budaya dan kreatif yang unik," katanya.