Hasrat dua sahabat kayuh basikal ke Thailand tak kesampaian, maut dirempuh kereta

Iklan
Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

KOTA BHARU - Hasrat dua sahabat untuk berbasikal ke Thailand minggu depan tidak kesampaian apabila mereka maut selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta Perodua Kelisa di Kilometer 18 Lebuhraya Kota Bharu-Ketereh di sini pagi Jumaat.

Lebih memilukan, salah seorang mangsa, Zamrie Rismawadi Mahmet, 49, sempat memberitahu abangnya mengenai perancangan tersebut sebelum maut kemalangan ketika dia keluar berbasikal bersama rakannya.

Iklan
Iklan

Abangnya, Zamrie Isman, 52, berkata, adiknya yang aktif berbasikal sejak zaman remaja sering melakukan aktiviti itu bersama kumpulannya.

"Arwah ada memberitahu sebelum ini bahawa mereka merancang untuk berbasikal ke Thailand minggu hadapan," katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Iklan

Menurutnya, berita mengenai kejadian yang menimpa adiknya diterima kira-kira jam 10.30 pagi tadi selepas dimaklumkan ahli keluarga lain.

"Saya tidak menyangka hasrat bertemu dengannya tidak kesampaian. Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah kira-kira dua bulan lepas.

Iklan

"Saya sebenarnya baru balik ke Kelantan dari Selangor dengan hajat untuk bertemu dengannya," katanya.

Zamrie Isman berkata, kehilangan adiknya amat dirasai keluarga, terutama kerana arwah seorang yang bertanggungjawab terhadap sembilan lagi adik-beradiknya selain sudah berjaya menyiapkan sebuah rumah.

Katanya, Zamrie Rismawadi tidak mempunyai anak walaupun pernah berkahwin sebelum ini.

Jenazah mangsa dijangka dikebumikan di Kampung Rupek di sini, malam ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Zamrie Rismawadi dan seorang lagi mangsa, Nik Zaki Yamani Nik Abdul Aziz, 49, dipercayai dirempuh sebuah Perodua Kelisa yang dipandu seorang lelaki dari arah belakang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan.

Menurut beliau, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Mayat kedua-duanya dihantar ke Unit Forensik HRPZ II untuk bedah siasat.

Orang awam yang mempunyai rakaman kejadian menerusi kamera papan pemuka diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, isteri Nik Zaki, Munirah Mohd Yusof, 40, yang juga seorang guru berkata, suaminya keluar berbasikal bersama rakan-rakan seperti rutin biasa setiap kali cuti umum.

Munirah berkata, beliau tidak pernah membayangkan kejadian sedemikian akan menimpa suaminya kerana aktiviti berbasikal bersama rakan-rakan sudah lama menjadi rutin arwah.

Jenazah Nik Zaki dijangka dikebumikan di Kampung Kubang Bemban selepas solat Isyak malam ini, sebaik segala urusan bedah siasat selesai.