PERSOALAN kecergasan menjadi cabaran utama Sabah FC menjelang Derbi Borneo Liga Super menentang Kuching City FC di Stadium Likas, Sabtu ini, selepas The Rhinos hanya mempunyai dua hari untuk pulih daripada aksi menentang Selangor FC aksi Pusingan 16 Piala FA.
Pengendali Sabah, Juan Torres Garrido, mengakui tempoh pemulihan yang singkat itu bukan keadaan ideal buat pasukannya yang perlu mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari, namun berharap keadaan berkenaan tidak menjejaskan kesiapsiagaan pemain untuk berdepan Kuching City.
“Kami teruja untuk bermain dalam perlawanan ini. Ia satu lagi ujian hebat untuk kedua-dua pasukan, tetapi kami hadir dalam keadaan yang berbeza kerana baru bermain dua hari lalu dan ia menentang Selangor,” katanya.
Sabah bukan sahaja perlu menguruskan kecergasan pemain, malah memastikan tempo permainan yang dirancang Garrido dapat dikekalkan walaupun jadual padat menuntut penggunaan tenaga yang tinggi.
“Kami perlu bermain tiga perlawanan dalam tujuh hari menentang dua pasukan yang hebat dan ia datang sangat awal dalam musim ini.
“Perlawanan terakhir serta minggu latihan kami menuntut banyak tenaga dalam keadaan yang kurang ideal. Kami berharap ia tidak menjejaskan keadaan pemain untuk menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya.
Menurut Garrido, keadaan pemain dipantau dari hari ke hari bagi membolehkan pasukan membuat persiapan sebaik mungkin berdasarkan tahap kecergasan semasa.
Beliau turut menjelaskan perubahan pemain dalam kesebelasan tidak semestinya dianggap sebagai rotasi, sebaliknya lebih berkait dengan strategi perlawanan dan tenaga yang diperlukan untuk mengekalkan tempo permainan Sabah.
“Setiap perlawanan dan setiap minit permainan adalah peluang untuk pemain menunjukkan bahawa mereka selari dengan idea kami,” katanya.
Dalam masa sama, Garrido mengakui Kuching City hadir dengan skuad yang kuat selepas mencatat prestasi baik musim lalu, selain memiliki kedalaman pasukan bagi menghadapi beberapa pertandingan.
Menurutnya, kedalaman skuad The Cats turut mewujudkan persaingan dalaman yang kuat apabila setiap pemain yang diberi peluang mahu membuktikan kemampuan masing-masing.
“Mereka adalah pasukan yang hebat musim lalu dan kini mempunyai skuad yang sangat mendalam untuk menghadapi beberapa pertandingan. Ini mewujudkan persaingan dalaman yang kuat.
“Jadi, pemain yang mendapat peluang bermain pastinya akan cuba membuktikan bahawa mereka layak mendapat minit permainan tersebut,” katanya.
Di sebalik persoalan kecergasan itu, Garrido turut mengharapkan sokongan penyokong tuan rumah di Stadium Likas dapat membantu Sabah menghadapi tuntutan fizikal perlawanan.
Beliau berkata kehadiran penyokong bukan sekadar memberikan sokongan moral, malah mampu menjadi sumber tenaga tambahan ketika pemain berdepan detik sukar.
“Kami perlukan stadium yang penuh untuk memberikan tenaga tambahan yang kami perlukan, membantu kami dalam detik-detik sukar dan bersama-sama menikmati saat-saat yang baik,” katanya.
Sabah tiga kali beraksi di laman sendiri musim ini dan Garrido mengakui sokongan penyokong yang hadir ke Likas sentiasa memberikan suasana positif kepada pasukan.
Menurutnya, kehangatan Derbi Borneo juga sudah mula dirasai dalam kalangan pemain tempatan Sabah dan penyokong.
“Kami bermotivasi untuk Derbi Borneo ini. Kami dapat merasakannya daripada pemain tempatan dan kami juga dapat merasakan penyokong kami begitu,” katanya.
Dengan tempoh pemulihan yang terhad, Garrido sekali lagi menyeru penyokong hadir bagi memberikan sokongan kepada pasukannya.
“Pada ketika ini, kami perlukan penyokong untuk memberikan kuasa tambahan yang kami perlukan selepas hanya dua hari berehat daripada perlawanan terakhir,” katanya.
Garrido mahu Sabah turun dengan tenaga, sikap positif dan cita-cita untuk memberikan persembahan terbaik dalam perlawanan berkenaan.
“Tenaga, sikap positif, cita-cita dan menikmati perlawanan yang baik. Kami berjanji mereka akan menikmati masa yang hebat,” katanya.
Derbi Borneo itu bakal menguji kemampuan Sabah menguruskan tuntutan kecergasan selepas melalui jadual padat, selain mengekalkan tempo permainan ketika berdepan Kuching City.
Bagi Garrido, tahap kesiapsiagaan pemain dan sokongan penyokong di Likas menjadi antara faktor penting ketika Rhinos cuba mengharungi satu lagi perlawanan selepas hanya dua hari tempoh pemulihan