SHAH ALAM - Dakwaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berbelanja melebihi peruntukan bagi Program Jalan Luar Bandar (JALB) adalah tidak tepat apabila perbelanjaan sebenar kementerian itu bagi 2023 hingga 2025 didakwa masih berada dalam lingkungan peruntukan yang dipinda.
Setiausaha Politik kepada Menteri KKDW, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, angka sekitar RM1 bilion dirujuk bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng merupakan peruntukan tahunan bagi Program JALB dan bukan keseluruhan nilai projek diluluskan kerajaan.
Menurutnya, projek pembangunan kerajaan turut melibatkan komitmen pembayaran bagi projek yang dilaksanakan dalam beberapa tahun.
“Projek pembangunan bukan seperti membeli barang secara tunai dan selesai dalam satu tahun. Ada projek yang berjalan dua, tiga malah lima tahun.
“Apabila projek telah diluluskan, Surat Setuju Terima (SST) telah dikeluarkan dan kerja telah bermula, komitmen pembayaran akan terus berjalan pada tahun-tahun berikutnya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mohd Razlan berkata, pada 2023, JALB bermula dengan peruntukan sekitar RM1.1 bilion sebelum diselaraskan mengikut proses kewangan kerajaan menjadi RM1.85 bilion, manakala perbelanjaan sebenar sekitar RM1.84 bilion.
Katanya, pada 2024 pula, peruntukan selepas penyelarasan berjumlah kira-kira RM2.02 bilion dengan perbelanjaan sekitar RM2 bilion.
“Pada 2025, peruntukan selepas penyelarasan sekitar RM2.27 bilion dan perbelanjaan juga sekitar RM2.27 bilion.
“Dalam ketiga-tiga tahun itu, perbelanjaan sebenar tidak melebihi peruntukan yang telah dipinda,” jelasnya.
Beliau berkata, penyelarasan peruntukan dalaman atau NOC yang dibuat bagi memenuhi komitmen pembangunan diluluskan adalah sebahagian daripada proses kewangan kerajaan dan bukan tindakan membelanjakan wang di luar peruntukan.
Mohd Razlan turut menegaskan bahawa tiada Menteri boleh mengarahkan kementerian masing-masing membelanjakan wang di luar peruntukan yang sah.
“Kalau benar ada perbelanjaan dibuat tanpa kelulusan atau melampaui kuasa kewangan yang sah, itu bukan lagi bahan untuk berbalas kenyataan politik.
"Itu merupakan pelanggaran tatacara kewangan yang boleh disemak melalui rekod peruntukan, waran dan sistem kewangan kerajaan,” katanya.
Menurut Mohd Razlan, tuduhan KKDW terlebih belanja adalah tidak tepat apabila kedudukan kewangan kementerian itu tidak pernah disoal dan telah memenangi banyak anugerah prestasi terbaik antara kementerian.
Menjawab persoalan berkenaan kontraktor, bayaran kepada kontraktor bagi kerja yang telah dilaksanakan dan tuntutan yang dibuat perlu diselesaikan berdasarkan kontrak serta tatacara kewangan kerajaan.
“Kalau beliau mempunyai bukti bahawa mana-mana kontrak diberikan secara tidak teratur, kemukakan bukti dan biarlah pihak berkuasa menyiasat,” tegasnya.
Mohd Razlan berkata, perbandingan antara peruntukan asal dengan perbelanjaan selepas penyelarasan tanpa mengambil kira mekanisme kewangan kerajaan akan menimbulkan gambaran bahawa sesebuah kemeterian boleh membelanjakan wang melebihi peruntukan.