SHAH ALAM – Pemilik tanah persendirian yang membenarkan kawasan mereka dijadikan lokasi pembuangan sampah haram berisiko berdepan tindakan termasuk pelucuthakan hak tanah bagi menangani masalah pencemaran sungai di Selangor.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir Izham Hashim berkata, tindakan itu antara langkah yang sedang diambil kerajaan negeri terhadap pemilik tanah yang membiarkan kawasan mereka menjadi tempat pembuangan sampah sehingga menjejaskan alam sekitar.
Menurutnya, terdapat pemilik tanah membenarkan pembuangan sisa pembinaan sebelum sampah domestik turut dibuang di kawasan sama sekali gus menghasilkan air larut resapan yang boleh mengalir ke sungai untuk tempoh bertahun-tahun.
"Pada awalnya mungkin hanya sisa pembinaan, tetapi apabila bercampur dengan sampah domestik, ia menghasilkan air larut resapan yang berterusan mengalir ke sungai," katanya selepas Bengkel Friends of River di sini pada Khamis.
Izham memberitahu, masalah itu sukar ditangani kerana ada kawasan pembuangan sampah haram yang terletak jauh di dalam hutan, selain timbunan sampah boleh mencecah kedalaman lima hingga enam meter.
Katanya, kos memulihkan tanah yang dicemari sampah juga sangat tinggi terutama apabila bahan buangan bercampur dan tertanam dalam tempoh lama.
Menurutnya, kerajaan negeri sedang mengambil tindakan terhadap pemilik tanah tertentu yang gagal membetulkan keadaan kawasan masing-masing melalui proses pengambilan tanah atau pelucuthakan hak pemilikan.
Beliau berkata, usaha menangani masalah itu memerlukan tindakan penguatkuasaan, penyelarasan agensi serta kesedaran masyarakat bagi menghalang sampah daripada terus memasuki sungai.
"Tindakan membersihkan sungai sahaja tidak mencukupi sekiranya punca pembuangan sampah haram di kawasan berhampiran terus berlaku," tegas beliau.