KOTA BHARU – Pas Sarawak menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu akan datang.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Sarawak, Rashidi Halun berkata, sasaran itu bukan sekadar memenuhi penyertaan dalam pilihan raya, sebaliknya menjadi sebahagian daripada pelan jangka panjang bagi membina kekuatan parti di negeri berkenaan.
Menurutnya, setiap kerusi yang akan ditandingi mempunyai objektif tersendiri dan perlu disokong dengan perancangan yang tersusun sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.
“Empat kerusi bukan sekadar angka tapi setiap kerusi yang diusulkan, mempunyai objektif tertentu.
“Paling penting, kita mesti mempunyai pelan gerak kerja yang tersusun sebelum, semasa dan selepas pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini pada Jumaat.
Rashidi berkata, Pas Sarawak turut meletakkan sasaran untuk meraih kemenangan sulung di negeri itu sempena hampir 30 tahun penubuhan Pas Sarawak sejak dilancarkan secara rasmi pada 1996.
Katanya, kemenangan tersebut diharapkan menjadi titik permulaan kepada pembinaan kekuatan parti secara lebih mampan, namun hanya mampu dicapai menerusi perancangan rapi, usaha berterusan dan pengorbanan seluruh jentera.
Dalam pada itu, beliau berkata, Pas Sarawak melalui proses pembangunan organisasi yang panjang daripada sebuah jawatankuasa penaja kepada sebuah organisasi yang kini mempunyai 11 kawasan di seluruh negeri.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pas negeri-negeri lain yang membantu memperkukuhkan gerak kerja Pas Sarawak termasuk Kelantan yang disifatkannya sentiasa memberikan sokongan menerusi penubuhan pasukan petugas bersama.
“Tempoh yang berbaki sebelum PRN perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memperkukuhkan organisasi, memperluaskan khidmat kepada masyarakat dan melahirkan lebih ramai pelapis yang mampu meneruskan perjuangan parti,” katanya.