Shopee tampil sulung dalam Perarakan Hari Kebangsaan

Iklan
Kontinjen sulung Shopee itu diketuai usahawan Malaysia, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, manakala pencipta kandungan Muhammad Noor Zakaria atau lebih dikenali sebagai MadNor, diberi tanggungjawab sebagai pembawa bendera.

KUALA LUMPUR – Shopee buat julung kalinya menyertai Perarakan Hari Kebangsaan Malaysia dengan menampilkan usahawan tempatan, pencipta kandungan digital dan 45 warga kerjanya sebagai kontinjen yang membawa semangat keusahawanan rakyat Malaysia.

Kontinjen sulung Shopee itu diketuai usahawan Malaysia, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, manakala pencipta kandungan Muhammad Noor Zakaria atau lebih dikenali sebagai MadNor, diberi tanggungjawab sebagai pembawa bendera.

Iklan
Iklan

Mereka bersama 45 warga kerja Shopee daripada pelbagai unit jabatan menyusuri laluan perarakan dan menerima sorakan serta tepukan meriah daripada penonton.

Penyertaan itu turut menghidupkan semangat Shopee Juara Lokal, iaitu kempen Merdeka Shopee yang meraikan keazaman, ketabahan dan semangat keusahawanan rakyat Malaysia.

Iklan

Bagi Aliff Syukri, penyertaan dalam perarakan tersebut cukup istimewa kerana sebelum ini beliau hanya berpeluang menyaksikannya sebagai penonton.

“Orang ramai mungkin hanya melihat lima minit perarakan, tetapi di sebaliknya tersimpan latihan berhari-hari, persiapan seawal pagi dan semangat kerja berpasukan.

Iklan

“Sebaik sahaja berada dalam barisan, tidak kira jawatan atau latar belakang, kami semua adalah rakyat Malaysia yang bersama-sama meraikan Merdeka.

“Bagi saya, semangat kebersamaan itulah yang menjadikan pengalaman ini begitu bermakna,” katanya.

Aliff Syukri yang juga pengasas jenama kesihatan dan kecantikan D’Herbs serta dikenali sebagai “Papa Terlajak Laris”, berkata pengalaman itu mencerminkan semangat usahawan tempatan yang berani membina jenama dari bawah dan terus melangkah mencapai kejayaan lebih besar.

Sementara itu, MadNor berkata peluang mewakili Shopee dalam Perarakan Merdeka merupakan pengalaman yang amat disyukuri selepas perjalanan beliau dalam dunia digital dan penciptaan kandungan.

“Berarak bersama rakyat Malaysia lain dalam kontinjen Shopee membuatkan saya rasa seperti mewakili semua yang berani mencuba, percaya pada diri sendiri dan berani mengejar impian yang lebih besar.

“Bagi saya, itulah Malaysia, rakyat biasa yang mampu melakukan perkara luar biasa,” katanya.

MadNor dikenali menerusi kandungan yang disampaikan secara bersahaja, berterus terang dan menghiburkan kepada golongan Gen Z berkaitan perbelanjaan serta pengurusan kewangan seharian.

Dalam pada itu, penyertaan 45 warga kerja Shopee turut meninggalkan pengalaman tersendiri kepada mereka.

Thines Kumar menyifatkannya sebagai satu pengalaman yang tidak akan dilupakan apabila dapat berarak bersama rakan sekerja dan rakyat Malaysia lain.

Delphinie Chan, yang membantu menyelaras kontinjen berkenaan daripada proses pengambilan peserta sehingga sesi latihan dan hari perarakan, pula berkata melihat segala usaha serta kerja keras semua pihak direalisasikan pada hari perarakan merupakan sesuatu yang benar-benar memberi inspirasi.

Bagi Zulaikha Zainul, penyertaan itu pula merealisasikan hasrat yang sudah lama disimpan untuk menjadi sebahagian daripada Perarakan Merdeka.

“Saya memang sudah lama teringin untuk menyertai Perarakan Merdeka. Semasa membesar, saya hanya berpeluang menyaksikannya melalui kaca televisyen.

“Memandangkan saya pernah membesar di luar negara untuk sebahagian daripada hidup saya, rakan-rakan selalu mengusik saya sebagai ‘tak cukup Malaysia’. Jadi, saya rasa inilah peluang saya untuk membuktikan mereka silap!

“Ia benar-benar satu pengalaman sekali seumur hidup dan cara yang istimewa untuk saya menghayati semangat Merdeka,” katanya.

Menurut Shopee, 45 warga kerja yang menyertai perarakan itu mewakili ribuan rakyat Malaysia yang menjadi tulang belakang syarikat berkenaan dalam menyokong pembeli, penjual serta komuniti e-dagang lebih luas.

Shopee turut menyifatkan usahawan tempatan sebagai sebahagian penting daripada komuniti berkenaan selepas menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia sepanjang sedekad lalu.

Sokongan itu merangkumi pelbagai peringkat perjalanan perniagaan, daripada perniagaan yang baru mula melangkah ke dunia dalam talian sehingga jenama tempatan yang sudah kukuh dan berjaya mencapai pelanggan di seluruh negara, malah ke pasaran luar Malaysia.

Sementara itu, Ketua Dasar Awam dan Hal Ehwal Luar Shopee Malaysia, Nik Emir Nik Din, berkata sambutan Merdeka merupakan masa untuk rakyat meraikan segala yang telah dibina bersama selain menghargai mereka yang terus menyumbang kepada kemajuan negara.

“Melihat seorang usahawan, seorang pencipta kandungan dan warga kerja kami sendiri berarak bersama menjadikan detik ini lebih bermakna kerana, dalam cara masing-masing, mereka mewakili komuniti yang telah berkembang bersama Shopee di Malaysia.

“Penyertaan sulung kami dalam Perarakan Hari Kebangsaan menjadi satu kesempatan untuk meraikan komuniti ini dan menghargai semangat keusahawanan yang kita lihat dalam kalangan rakyat Malaysia setiap hari.

“Di sebalik setiap perniagaan tempatan, ada individu yang berani bermula dengan sebuah idea, mengambil langkah untuk merealisasikannya dan terus berusaha membangunkan perniagaan mereka, walaupun berdepan pelbagai cabaran dan ketidakpastian,” katanya.

Nik Emir berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia, Shopee mahu terus memainkan peranan dengan membantu lebih ramai usahawan tempatan memperkukuh keupayaan, mencapai lebih ramai pelanggan dan mengembangkan aspirasi mereka.

Menurutnya, kejayaan usahawan tempatan bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital, malah memberi kesan kepada komuniti dan sumber kehidupan di sekeliling mereka.