KUALA LUMPUR - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menggerakkan operasi serta-merta bagi menyelesaikan baki pembekalan Baja Sebatian NPK Tambahan kepada 40,000 pesawah terjejas di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Pengurus Besar NAFAS Muhammad Faris Arriffin berkata, langkah menerusi anak syarikatnya Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) diambil, susulan keputusan kerajaan untuk memastikan isu kelewatan bekalan baja berkenaan diselesaikan dengan pantas, tanpa menjejaskan aktiviti penanaman padi.
"Atas tanggungjawab tersebut, kami mengambil pendekatan segera dan tersusun, untuk memastikan baki bekalan disalurkan kepada pesawah yang terjejas,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Muhammad Faris berkata, sebanyak 14,000 tan metrik (MT) baja telah disediakan bagi tujuan pembekalan secara berperingkat, yang melibatkan 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
Beliau berkata, penghantaran bekalan bermula pada Jumaat mengikut jadual ditetapkan, dengan agihan awal sebanyak 600 MT dihantar pada hari pertama.
Muhammad Faris berkata, NAFAS akan bekerjasama rapat dengan MADA, PPK dan pihak berkaitan bagi pemantauan rapi pergerakan stokis, sehingga baja sampai ke tangan pesawah.
"Fokus kami bukan sekadar menghantar baja, tetapi memastikan baja tersebut benar-benar sampai kepada pesawah yang memerlukan. Setiap peringkat pembekalan akan dipantau bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar dan mengikut jadual.” katanya.
NAFAS turut memberi jaminan bahawa penyelarasan dengan PPK dan pihak MADA akan diperkukuh sepanjang tempoh pembekalan, bagi mengenal pasti sebarang isu operasi dengan pantas dan mengambil tindakan pembetulan tanpa menjejaskan penerimaan bekalan oleh pesawah.
"Langkah tersebut selaras dengan komitmen NAFAS untuk terus menjadi rakan penyelesaian kepada kerajaan dan komuniti peladang, khususnya dalam memastikan rantaian bekalan input pertanian strategik kekal kukuh serta menyokong agenda keterjaminan makanan negara,” katanya. - Bernama