PUTRAJAYA – Berebut tempat duduk dipercayai menjadi punca seorang lelaki mencetuskan provokasi ketika sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, kertas siasatan berhubung kejadian itu telah dilengkapkan dan kini berada di pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut.
"Punca kejadian nak rebut tempat duduk," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Pada Khamis, media melaporkan lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis setelah tempoh reman sehari tamat.
Sebelum ini, media melaporkan lelaki berusia 30 tahun yang bekerja sebagai tukang masak ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya kira-kira jam 12.15 tengah malam pada 2 September.
Lelaki terbabit direman sehari bermula Rabu bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan.
Ujian air kencing yang dijalankan terhadapnya turut mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).
Terdahulu, beberapa rakaman video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki berbaju coklat dipercayai mencetuskan provokasi terhadap anggota polis yang sedang bertugas.
Aidi Sham dilaporkan berkata, lelaki terbabit dipercayai merempuh dan menolak orang awam yang sedang menunggu pembukaan pagar masuk ke kawasan tempat duduk awam.
Tindakan itu menyebabkan berlaku tolak-menolak sehingga beberapa individu terjatuh.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika orang ramai berkumpul bagi menunggu pintu masuk ke kawasan tempat duduk awam dibuka.
Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.