MUKTAMAR Tahunan Pas ke-72 kali ini hadir pada titik penting perjalanan politik parti itu apabila kekuatan yang dibina sejak beberapa pilihan raya lalu mula menuntut jawapan lebih besar daripada sekadar kemampuan memenangi kerusi.
Selepas memperoleh 43 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pas kini berdepan persoalan yang berbeza iaitu sejauh mana kekuatan tersebut boleh diterjemahkan kepada kemampuan membentuk dan mentadbir kerajaan di peringkat Persekutuan.
Muktamar yang berlangsung di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa di sini pada 4 dan 5 September ini justeru bukan sekadar medan membahaskan laporan, usul serta ucapan dasar Presiden, sebaliknya menjadi pentas penting untuk membaca arah perjalanan Pas menjelang PRU16.
Lebih menarik, persoalan mengenai penyatuan politik Melayu-Islam dijangka menjadi antara perhatian utama.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini menyatakan parti memberi fokus kepada persiapan akhir jentera pilihan raya termasuk PRN Melaka dan PRU16 selain mengajak kerjasama politik yang mengutamakan perpaduan Melayu-Islam serta bukan Islam yang tidak ekstrem terhadap Islam.
Dalam konteks itu, kehadiran UMNO pada muktamar mempunyai nilai politik tersendiri.
Pas mengundang pimpinan UMNO, manakala UMNO pula akan menghantar wakil ke muktamar Pas sebelum Pas mengesahkan kehadiran ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Perkembangan timbal balik ini sekurang-kurangnya menunjukkan wujud ruang komunikasi yang semakin terbuka antara dua parti berkenaan, namun jemputan tidak semestinya bermaksud penyatuan.
Kepercayaan
Sejarah hubungan Pas-UMNO, khususnya pengalaman Muafakat Nasional, menjadikan sebarang usaha baharu perlu berdepan persoalan kepercayaan, pembahagian kerusi dan bentuk kerjasama yang boleh diterima akar umbi kedua-dua parti.
Pada masa sama, kedudukan Bersatu menambahkan lagi kerumitan.
Pas menjemput parti-parti PN ke muktamar tetapi tidak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dengan Abdul Hadi menyatakan secara peribadi beliau menganggap Bersatu bukan lagi sebahagian daripada PN selepas parti itu bertanding sendiri pada PRN Negeri Sembilan.
Ini bermakna Pas kini bukan sahaja perlu menentukan siapa rakan politiknya, tetapi juga bentuk gabungan paling berkesan untuk menghadapi PRU16.
Matematik pilihan raya menjadi penting kerana pertembungan sesama parti Melayu-Islam berpotensi memecahkan undi, tetapi kerjasama politik pula memerlukan kesepakatan yang lebih jauh daripada pembahagian kerusi.
Lebih besar daripada soal gabungan ialah tawaran pemerintahan.
Rakyat menilai
Jika Pas benar-benar mahu bergerak daripada parti pembangkang kepada parti yang memimpin kerajaan Persekutuan, rakyat akan menilai bukan sahaja kekuatan jentera dan identiti politiknya tetapi kemampuan menyediakan penyelesaian terhadap ekonomi, kos sara hidup, pendidikan, pekerjaan, tadbir urus dan kepelbagaian masyarakat Malaysia.
Justeru, Muktamar Pas ke-72 boleh dilihat sebagai ujian transisi daripada parti yang kuat memenangi kerusi kepada parti yang diyakini mampu mentadbir negara.
Cabarannya bukan lagi membuktikan Pas mempunyai kekuatan, tetapi meyakinkan bahawa kekuatan itu mempunyai arah, rakan strategik dan tawaran pemerintahan yang jelas.
Sekiranya itu berjaya diterjemahkan melalui muktamar kali ini, Pas bukan sahaja sedang mempersiapkan jentera untuk PRU16, malah sedang membina naratif bahawa parti itu bersedia untuk memerintah.
Jika tidak, persoalan mengenai sejauh mana Pas mampu mengubah kekuatan politik kepada kuasa pemerintahan akan terus menjadi cabaran utama parti tersebut.
*Adila Sharinni Wahid ialah wartawan Sinar Harian