CADANGAN untuk meneroka lokasi baharu bagi penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) membuka satu persoalan lebih besar.
Ia menyentuh nilai sebuah jenama yang dibina Malaysia selama lebih tiga dekad sehingga menjadi antara acara pertahanan dan aeroangkasa yang dikenali di rantau Asia Pasifik.
Sekiranya terdapat kekangan dari segi akses, infrastruktur atau kapasiti penganjuran, adakah penyelesaiannya perlu sampai kepada tahap memindahkan LIMA dari Langkawi?
Atau kelemahan berkenaan sebenarnya boleh diperbaiki tanpa mengorbankan identiti yang sudah sebati dengan nama LIMA itu sendiri?
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melihat persoalan tersebut dari sudut yang lebih luas apabila membangkitkan sama ada LIMA masih sebuah jenama yang mempunyai nilai di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, usaha menaikkan jenama LIMA telah dilakukan selama berpuluh tahun dan penerimaan pemain industri pertahanan antarabangsa terhadap pameran berkenaan dapat dilihat menerusi penyertaan syarikat pertahanan antarabangsa.
Pandangan itu penting kerana dalam industri pameran antarabangsa, jenama bukan sesuatu yang boleh dibina dalam tempoh singkat.
LIMA diperkenalkan pada 1991 dan sepanjang lebih 30 tahun penganjurannya, nama Langkawi dan LIMA telah berkembang sebagai satu pakej yang saling melengkapi.
Apabila lokasi dicadangkan untuk diubah, persoalannya bukan hanya sama ada lokasi baharu mempunyai lapangan terbang lebih besar, kemudahan lebih moden atau akses yang lebih mudah.
Turut perlu dinilai ialah apakah kesan terhadap nilai komersial, pengiktirafan antarabangsa dan identiti LIMA sekiranya ia tidak lagi berlangsung di Langkawi.
Sekiranya masalah boleh diselesaikan melalui penambahbaikan infrastruktur dan logistik, pemindahan lokasi mungkin bukan pilihan paling strategik.
Cadangan supaya Melaka menjadi lokasi alternatif juga tidak seharusnya dilihat dalam kerangka 'Langkawi lawan Melaka'.
Malah, cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Amar Pared Mahamud supaya diwujudkan acara atau segmen aeroangkasa dan maritim baharu di Melaka tanpa memindahkan LIMA dari Langkawi wajar diberi perhatian.
Pendekatan itu membuka ruang kepada kerajaan memperluas ekosistem industri pertahanan dan aeroangkasa tanpa mengorbankan jenama LIMA.
Langkah berkenaan juga berpotensi menjadikan Malaysia mempunyai lebih daripada satu hab bagi aktiviti berkaitan aeroangkasa, maritim dan pertahanan.
Apa yang lebih penting, kerajaan perlu memastikan perbincangan mengenai masa depan LIMA tidak terhenti pada persoalan lokasi.
Perlu ada kajian menyeluruh mengenai nilai ekonomi, jenama antarabangsa, penyertaan industri, kos penganjuran, keperluan pertahanan serta impak kepada komuniti tempatan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Lagipun, memindahkan sebuah acara yang telah berakar lebih 30 tahun bukan seperti memindahkan satu program biasa dari satu negeri ke negeri lain.