Keluarga harap pasukan SMART dibenar bantu operasi di Nepal

Iklan
Ahli keluarga Rakyat Malaysia berharap pasukan SMART dibenar bantu SAR di Nepal.

KUALA LUMPUR - Keluarga rakyat Malaysia berharap Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dibenar menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) bencana banjir kilat di kawasan sempadan Nepal-Tibet.

Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH), Dr R Manivannan berkata, pasukan SMART mempunyai keupayaan serta kepakaran untuk membantu dalam operasi seumpama itu

Iklan
Iklan

"Kerajaan Nepal telah menerima bantuan dari India, China dan Korea Selatan termasuk forensik Singapura.

"Saya pasti pasukan SMART kita ada keupayaan serta kepakaran. Mungkin setibanya di sana dan atas dasar kemanusiaan mereka akan benarkan kerana saya percaya mereka membawa cukup kelengkapan untuk misi ini," katanya sidang akhbar di Desa Petaling, di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau mengulas mengenai pendirian kerajaan Nepal yang hanya menerima bantuan dalam bentuk barangan dan bukan sokongan anggota bagi membantu tugas menyelamat mangsa tragedi banjir di negara itu.

Manivannan

Iklan

Pada masa sama, Manivannan mempersoalkan keberkesanan pengurusan penghantaran pasukan negara selepas lebih seminggu tragedi itu berlaku.

"SMART akan lebih efektif sekiranya dihantar dalam tempoh 24, 48 atau 72 jam.

"Hari ini sudah masuk hari ke sembilan dan jika pasukan kita tiba pada hari ke-11 dan digerakkan di lokasi, ia sudah memasuki hari ke-12," katanya.

Bagaimanapun, Manivannan berkata, kehadiran pasukan Malaysia di Nepal juga penting bagi mendapatkan maklumat terkini secara terus di lapangan.

"Sekurang-kurangnya kita akan dapat menerima perkembangan terkini secara terus daripada anggota Malaysia di sana.

"Ia juga akan membuka laluan serta menerima maklumat yang lebih tepat," katanya.

Terdahulu, seramai 55 rakyat Malaysia gagal dihubungi dalam banjir kilat dahsyat melanda daerah Rasuwa dan Nuwakot di Nepal pada 26 Ogos lalu, yang dipercayai berpunca daripada runtuhan glasiar.