Kes Jana Wibawa: Hadir ke mahkamah untuk bercakap benar - Saksi

Iklan
Muhyiddin hadir di Mahkamah Tinggi pada Khamis bagi perbicaraan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pengarah KCJ Engineering Sdn Bhd, Datuk Seri Azman Yusoff pada Khamis menegaskan beliau hadir ke mahkamah untuk bercakap benar tanpa mengambil kira sama ada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menang atau kalah dalam kes yang dihadapinya.

Azman, 54, yang juga Presiden Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan kes Muhyiddin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.

Iklan
Iklan

"Saya hadir ke mahkamah untuk bercakap benar dan saya tidak kira sama ada Tan Sri Muhyiddin menang atau kalah dalam kes ini. Saya tidak peduli… yang penting, saya bercakap benar di mahkamah. Saya telah mengangkat sumpah," kata saksi pendakwaan ke-27 itu.

Azman turut menyifatkan kandungan borang aduan yang mendakwa beliau meminta dan menerima wang daripada syarikat kontraktor berkaitan perolehan projek Jana Wibawa sebagai fitnah terhadapnya.

Iklan

"Saya tidak direman dan tidak dituduh di mahkamah kerana saya tidak melakukan apa-apa kesalahan.

"Rasuah hanya melibatkan orang yang ada kuasa. Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan (MOF) ada kuasa… jadi bagi saya, hanya orang yang ada kuasa boleh meminta dan menerima (rasuah). Saya tidak ada kuasa dalam perkara ini,” katanya.

Iklan

Beliau turut menolak dakwaan pihak pembelaan bahawa dirinya menerima 'special treatment' (layanan istimewa) daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya kerana tidak direman atau didakwa.

"Apa yang dimaksudkan dengan 'special treatment' oleh peguam? Hanya kerana saya tidak direman dan didakwa, mereka anggap ia 'special treatment',” katanya.

Azman berkata, beliau hadir ke pejabat SPRM untuk memberikan keterangan sebenar dan menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk memberikan projek Jana Wibawa kepada mana-mana syarikat kontraktor.

Beliau hanya memaklumkan kepada syarikat kontraktor bahawa sekiranya mereka memperoleh projek berkenaan, mereka diminta membuat sumbangan kepada parti Bersatu.

Azman berkata, ketika bertemu Muhyiddin pada satu acara golf pada Julai 2020, bekas Perdana Menteri itu memaklumkan bahawa sekiranya mana-mana pihak berhasrat menyumbang kepada Bersatu, sumbangan perlu dimasukkan terus ke dalam akaun parti dan bukan diberikan kepada individu.

Ditanya Wan Shaharuddin mengapa saksi tidak membuat laporan terhadap Muhyiddin walaupun mengetahui permintaan berhubung sumbangan itu adalah salah, Azman berkata, beliau sekadar mematuhi arahan yang diberikan.

"Saya tidak jahat atau ‘miskin hina' untuk menjual nama Tan Sri Muhyiddin bagi mendapatkan wang untuk disalurkan kepada Bersatu. Saya terhutang budi kepada Tan Sri Muhyiddin kerana beliau membantu kontraktor bumiputera semasa pandemik Covid-19. Saya tidak sejahat itu," katanya.

Terdahulu, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Muhyiddin meminta untuk melihat catatan Azman selepas mendakwa saksi itu memberikan"jawapan yang telah diajar” apabila dilihat menunduk seperti membaca sesuatu sebelum menjawab soalan pihak pendakwaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Md Nurdin kemudian meminta untuk melihat kertas berkenaan sebelum berkata, "Saya lihat dia (Azman) menulis. Ini jawapan dia terhadap soalan yang ditanya. Kalau kita dengar soalan pun, kita catit”.

Sementara itu, Azman turut menafikan menggunakan kedudukannya sebagai Presiden PKBM untuk mendapatkan projek kerajaan atau mempunyai pengaruh dalam kalangan pegawai Kementerian Kerja Raya (KKR).

Muhyiddin, 79, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya ketika menjadi Perdana Menteri dan Presiden Bersatu untuk mendapatkan suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu berkaitan Projek Jana Wibawa antara Mac 2020 hingga Ogos 2021. 

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta yang didakwa diterima daripada Bukhary Equity Sdn Bhd dan dimasukkan ke dalam akaun Bersatu antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Perbicaraan bersambung 14 September ini. - Bernama