SHAH ALAM - Sejumlah RM300,000 disalurkan kepada Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS), bagi menyokong pembangunan masyarakat dan komuniti Selangor.
Sumbangan tersebut disalurkan oleh Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) sebagai kesinambungan kerjasama jangka panjang dalam menyokong usaha tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings Berhad, Encik Ahmad Zaki Ahmad Zainuddin berkata, kerjasama berterusan mencerminkan keyakinan Worldwide Holdings bahawa kemajuan Selangor pada akhirnya adalah tentang masyarakat dan komuniti.
Menurutnya, kesinambungan kerjasama tersebut membolehkan Worldwide Holdings menyalurkan pelaburan sosial melalui rakan strategik yang memahami keperluan komuniti serta berupaya menterjemahkan sokongan yang diberikan kepada impak yang bermakna.
"Kemajuan Selangor pada akhirnya adalah tentang masyarakat dan komuniti. Seiring dengan negeri Selangor ini yang terus berkembang dan maju, kami percaya kemajuan tersebut juga perlu membuka lebih banyak peluang kepada individu dan komuniti untuk turut maju bersama.
"Kerjasama jangka panjang kami dengan Yayasan Raja Muda Selangor mencerminkan komitmen bersama ini. Melalui kerjasama ini, kami dapat menyokong program-program bermakna yang membangunkan potensi, memperkukuh komuniti dan membuka peluang kepada masyarakat untuk membina masa hadapan yang lebih baik dan mampan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, sumbangan tersebut telah disembahkan kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, sempena Majlis Hi-Tea bersama Raja Muda Selangor, anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama YRMS.
Sumbangan RM300,000 tersebut akan menyokong pelaksanaan program pembangunan sosial dan komuniti YRMS yang sedang dilaksanakan, termasuk inisiatif berkaitan pemerkasaan belia dan pembangunan kemahiran.
Dalam pada itu, seiring peranannya dalam menyokong pembangunan ekonomi dan infrastruktur Negeri, Worldwide Holdings turut mengiktiraf kepentingan pelaburan dalam inisiatif yang memperluas peluang, memperkukuh komuniti serta membolehkan lebih ramai insan mengambil bahagian secara bermakna dalam pertumbuhan Selangor.
Sepanjang tempoh kerjasama, Worldwide Holdings dan YRMS telah bersama-sama menyokong pelbagai inisiatif yang memberi tumpuan kepada pembangunan belia, peningkatan kemahiran dan kesejahteraan komuniti.