JERLUN - Satu laporan polis berhubung kelewatan pembekalan Baja Padi 3 di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dibuat oleh pesawah bagi menuntut ganti rugi susulan dakwaan kemerosotan hasil dan pendapatan mereka.
Setiausaha Jawatankuasa Titian Kasih bekas kakitangan lembaga Padi Negara (LPN) Bernas, Mashitoh Seman, 68, berkata, laporan dibuat pada 25 Ogos lalu di Balai Polis Air Hitam, di sini.
Menurutnya, laporan itu dibuat selepas pelbagai usaha rundingan dan pertemuan dengan pihak kerajaan sebelum ini didakwa masih belum menyelesaikan masalah kelewatan bekalan baja.
“Gabungan pesawah dan kami bersetuju untuk membuat laporan bagi menuntut hak kepada kerajaan Madani, Menteri Pertanian dan Pengerusi MADA supaya membayar ganti rugi.
“Bagi kami, sudah terlalu lewat untuk menghantar baja. Kami mahu ganti rugi atas kerugian yang dialami petani,” katanya pada Khamis.
Pada Rabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penghantaran baki bekalan Baja Padi Tiga kepada pesawah yang terjejas akan dilaksanakan anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengemukakan surat kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Ogos lalu bagi memohon penamatan perkhidmatan Taveekun Manufacturing Sdn Bhd sebagai pembekal Baja Padi Tiga susulan kelewatan yang berlaku.
Mashitoh yang juga Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), berkata, pihaknya tidak lagi mahu sekadar mengadakan rundingan atau mengadakan demonstrasi, sebaliknya bersedia membawa tuntutan berkenaan melalui saluran undang-undang.
“Kami tidak akan angkat sepanduk dan akan pergi mahkamah untuk menuntut menerusi undang-undang. Kami akan berbincang dengan PeSAWAH mengenai perkara ini. Ini bukan untuk menjejaskan imej Perdana Menteri atau Menteri Pertanian tetapi menuntut hak sebagai petani,” ujarnya.
Menurutnya, pesawah sudah terlalu letih dengan janji penyelesaian selepas beberapa kali rundingan dan pertemuan dengan pihak berkaitan termasuk membawa isu berkenaan ke Parlimen.
Dalam pada itu, Mashitoh mendakwa sebahagian baja yang akan tiba sudah tidak dapat digunakan untuk tanaman semasa kerana terdapat sawah yang menghampiri tempoh tuaian.
“Baja yang tiba sudah tidak dapat digunakan lagi kerana ada yang hampir dituai dan hanya boleh disimpan di stor untuk digunakan pada musim seterusnya,” katanya lagi.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PeSAWAH, Mohd Rosdi Yahaya, 57, berkata, penghantaran baki bekalan Baja Padi Tiga seperti diumumkan kerajaan tidak semestinya menyelesaikan masalah yang dihadapi pesawah.
Menurutnya, walaupun bekalan dijangka mula dihantar pada 3 September, tanaman padi tidak menunggu sehingga bekalan tiba kerana sebahagian besar tanaman didakwa sudah melepasi tempoh penggunaan baja berkenaan.
“Perkara ini tidak menyelesaikan masalah kerana padi tidak tunggu kita. Mungkin selesai secara teknikal, pesawah akan dapat baja tidak lama lagi, tetapi sudah terlewat kerana rata-rata padi telah melepasi waktu menggunakan baja ketiga ini.
“Anggaran penggunaan baja ini adalah antara 50 hingga 60 hari umur pokok padi, tetapi malangnya pokok padi sekarang ini telah melebihi umur 70 hari ke atas dan berada pada peringkat keluar buah padi,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Rosdi berkata, kerajaan wajar mewujudkan skim ganti rugi atau pampasan secara sekali bayar kepada pesawah yang terjejas.