GEORGE TOWN- Kerajaan Pulau Pinang digesa menangguhkan kenaikan tarif air, cukai tanah dan semua bayaran fi bagi mengurangkan tekanan kewangan yang ditanggung rakyat serta golongan peniaga ketika keadaan ekonomi masih tidak menentu.
Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari seharusnya mencontohi pendekatan reformasi ekonomi yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya dalam usaha meringankan beban rakyat.
Menurutnya, pengumuman Anwar sempena sambutan Hari Kebangsaan membuktikan kerajaan mempunyai kemahuan politik untuk melaksanakan langkah yang dapat mengurangkan kos sara hidup dan beban kewangan rakyat.
“Selepas pengumuman Hari Merdeka Perdana Menteri, tidak ada sebab mengapa Kon Yeow dan Zairil tidak boleh memiliki semangat reformis dan kemahuan politik yang sama untuk menunaikan manifesto pilihan raya agar rakyat Pulau Pinang boleh hidup lebih senang.
“Ramai pemilik tanah di Pulau Pinang tidak mampu membayar peningkatan cukai tanah tahun ini yang naik melambung tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan pelaksanaan kadar tarif air baharu bagi pengguna domestik dan bukan domestik bermula 1 Julai selepas pelaksanaannya ditangguhkan selama 12 bulan.
Zairil dilaporkan berkata, pelarasan itu melibatkan 82 peratus pengguna domestik atau isi rumah yang menggunakan 35 meter padu air atau kurang setiap bulan, dengan kenaikan 8.5 sen atau RM2.55 sebulan.
Selain itu, Kon Yeow juga sebelum ini mengumumkan bahawa kerajaan negeri mewartakan kadar baharu cukai tanah berkuat kuasa 1 Januari tahun depan melibatkan hampir 370,000 hak milik tanah di Pulau Pinang.
Dalam perkembangan sama, Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, dalam keadaan ekonomi tidak menentu serta peningkatan harga minyak susulan konflik Amerika Syarikat-Iran, rakyat tidak seharusnya dibebankan dengan peningkatan kos asas.
Tambahnya, kerajaan negeri sepatutnya menangguhkan semua kenaikan sehingga tinjauan dan prospek ekonomi global kembali stabil.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan keengganan Zairil menyokong penangguhan kenaikan tarif air sebanyak 20 sen bagi setiap meter padu daripada kadar purata semasa 62 sen bagi setiap meter padu yang berkuat kuasa 1 Julai lalu.
“Tambahan hasil kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sebanyak RM20 juta setahun tidak seberapa tetapi ia mempunyai impak negatif kepada 1.8 juta rakyat Pulau Pinang.
“Ini dibuktikan dengan prestasi kewangan PBAPP yang mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai lebih sekali ganda, daripada RM23.1 juta bagi suku pertama 2025 kepada RM49.6 juta bagi tempoh sama tahun ini,” katanya.
Menurut Guan Eng, keuntungan sebelum cukai PBAPP bagi tiga bulan pertama 2026 itu adalah jauh lebih tinggi berbanding tambahan hasil RM20 juta yang dijangka diperoleh menerusi kenaikan tarif air.
Justeru, beliau berpandangan PBAPP mempunyai keupayaan kewangan untuk menangguhkan kenaikan tarif berkenaan sekurang-kurangnya bagi tempoh setahun.
“Jika PBAPP amat terdesak memerlukan wang RM20 juta ini, kerajaan negeri boleh memohon geran kewangan atau pinjaman daripada kerajaan Persekutuan.
“Tidak ada alasan kerajaan Persekutuan enggan memberikan geran kewangan atau pinjaman sebanyak RM20 juta,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada dakwaannya bahawa kerajaan Persekutuan masih berhutang RM2.8 bilion kepada Pulau Pinang selepas hanya membayar balik RM7.9 bilion daripada sumbangan negeri berjumlah RM10.7 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Beliau berkata, kerajaan negeri perlu menunjukkan keutamaan kepada kepentingan rakyat dalam membuat keputusan berkaitan kenaikan kos.
“Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Selagi kerajaan negeri terus berjiwa rakyat lebih daripada PBA Holdings Bhd,” katanya.