Bank Islam sumbang RM300,000 kepada Tabung Wakaf Tunai MAIK

Iklan
Teh Maimunah (dua dari kiri) menyerahkan cek sumbangan kepada Mohd Yusri (dua dari kanan) ketika Majlis Penghargaan Bank Islam bersama MAIK di Alor Setar pada Rabu.

ALOR SETAR - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyumbang RM300,000 kepada Tabung Wakaf Tunai Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) bagi memperkukuh pembangunan sosioekonomi ummah dan kesejahteraan masyarakat.

Sumbangan itu disampaikan pada Majlis Penghargaan Bersama MAIK sempena program Jelajah Bank Islam ke Kedah.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, wakaf berperanan sebagai instrumen pembangunan yang mampu memberikan manfaat berpanjangan kepada masyarakat bukan sekadar memenuhi keperluan kebajikan.

Menurutnya, sejarah tamadun Islam membuktikan wakaf berupaya menyokong pembangunan pelbagai kemudahan awam termasuk institusi pendidikan, hospital, rumah kebajikan dan pusat komuniti.

Iklan

“Wakaf juga berpotensi melengkapi perbelanjaan awam dalam menyediakan lebih banyak infrastruktur sosial dan kemudahan komuniti demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan cek cura rakan strategik Wakaf FundRun 2026 kepada Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Mohd Yusri Md Daud di sini pada Rabu.

Iklan

Raja Teh Maimunah berkata, selain penyerahan sumbangan, Bank Islam turut mengadakan bengkel strategik bersama MAIK bagi meneroka peluang kerjasama dalam pengurusan dana Islam, pembangunan aset wakaf, pendigitalan dana sosial Islam serta penyelesaian inovatif untuk meningkatkan impak ekonomi dan sosial kepada masyarakat.

Jelasnya, program itu turut menjadi platform perbincangan mengenai prospek ekonomi dan pasaran 2027 serta potensi kerjasama bagi memperkukuh pembangunan ekonomi Islam di Kedah.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Bank Islam turut menyalurkan zakat perniagaan berjumlah RM1.03 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta RM453,000 kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Menurutnya, kerjasama berterusan antara Bank Islam dan institusi agama negeri mencerminkan aspirasi bersama untuk memperkukuh ekosistem kewangan sosial Islam negara.

“Melalui instrumen seperti zakat dan wakaf, Bank Islam terus memainkan peranan dalam mewujudkan pembangunan yang lebih inklusif, mampan dan memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat,” ujarnya.