Kes lelaki cetus provokasi: Kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya

Iklan
Tangkap layar rakaman video tular memaparkan lelaki yang disyaki mencetuskan provokasi di Dataran Putrajaya, pada Isnin.

PUTRAJAYA - Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes seorang lelaki yang dipercayai mencetuskan provokasi ketika sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, kertas siasatan itu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) pada Khamis.

Iklan
Iklan

"Lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis, kita akan rujuk kertas siasatan kepada DPP hari ini," katanya ringkas ketika dihubungi pada Khamis.

Pada Rabu, media melaporkan, lelaki berusia 30 tahun yang juga seorang tukang masak telah ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya kira-kira jam 12.15 tengah malam pada 2 September.

Iklan

Lelaki terbabit direman sehari bermula Rabu bagi membantu siasatan berhubung insiden tersebut.

Ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

Iklan

Sebelum ini tular beberapa rakaman video yang memaparkan seorang lelaki berbaju coklat mencetuskan provokasi terhadap anggota polis yang bertugas.

Aidi Sham dilaporkan berkata, lelaki terbabit dipercayai merempuh dan menolak orang awam yang sedang menunggu pembukaan pagar masuk ke kawasan tempat duduk sehingga berlaku tolak-menolak dan beberapa individu terjatuh.

Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika orang ramai berkumpul untuk menunggu pintu masuk ke kawasan tempat duduk awam dibuka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.