JAS ambil tindakan susulan ikan mati di Sungai Sitiawan

Iklan
Pegawai JAS mengambil sampel air di salah satu kawasan ditemui bangkai ikan yang didakwa berlaku pencemaran di Sungai Sitiawan pada 30 Ogos lalu.

LUMUT – Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah mengambil sampel air Sungai Sitiawan bagi mengenal pasti punca kematian ikan yang dikesan di sungai berkenaan pada 30 Ogos lalu.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, siasatan dijalankan di tiga lokasi iaitu Pelantar Wak Dol, penginapan D’ Chalet dan Tanjung Uda River Resort selepas JAS menerima makluman mengenai penemuan ikan mati di sungai berkenaan pada jam 9.57 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil siasatan mendapati beberapa ekor ikan dan hidupan laut lain mati serta timbul di permukaan air.

"JAS turut menjalankan persampelan secara in situ dan mengambil sampel air di ketiga-tiga lokasi untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia Malaysia. Bacaan oksigen terlarut (DO) direkodkan masing-masing pada 5.86 miligram seliter (mg/L) di Pelantar Wak Dol, 3.79 mg/L di D’ Chalet dan 1.59 mg/L di Tanjung Uda River Resort.

Iklan

Kok Lim berkata, siasatan pasukan JAS turut mengenal pasti berlaku kerosakan injap (valve) blower di loji rawatan kumbahan (STP) premis berkenaan.

Katanya, bagaimanapun sampel efluen kumbahan tidak dapat diambil berikutan kadar aliran yang sangat rendah iaitu 0.583 meter padu sejam.

Iklan

"JAS akan menunggu keputusan analisis Jabatan Kimia Malaysia sebelum menentukan tindakan selanjutnya. Tindakan perundangan akan diambil bergantung kepada keputusan analisis sampel berkenaan.

"JAS juga akan meneruskan pemantauan serta menjalankan pemeriksaan penguatkuasaan ke atas premis-premis berhampiran yang berpotensi mencemarkan sungai tersebut," katanya.

Sinar Harian pada 2 September melaporkan pengusaha bot memancing di sekitar Kampung Acheh, Sitiawan di sini mula berdepan kerugian selepas empat tempahan dibatalkan pelanggan susulan penemuan ikan, ketam dan udang mati dipercayai akibat pencemaran sungai.