BANGI - Pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) perlu dijadikan iktibar oleh semua pihak untuk memastikan kontroversi melibatkan institusi kewangan Islam itu tidak berulang.
Pengerusi TH, Tan Sri Rashid Hussin berkata, kelompongan yang berlaku sebelum ini bukan sahaja mencalarkan imej institusi berkenaan tetapi boleh menghakis kepercayaan umat Islam.
“TH mesti diperkukuhkan dan dijauhkan daripada campur tangan mana-mana pihak,” katanya ketika sesi Dialog Ummah: Realiti Masa Depan TH di salah sebuah hotel sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Rashid berkata, dengan laporan dan disusuli dengan penambahbaikan yang dilaksanakan, beliau yakin TH kini berjaya kembali ke landasan sebenar.
Malah, beliau dalam masa sama turut yakin agihan dividen pada juga dijangka meningkat mengambil kira keuntungan dan proses pemulihan yang dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan TH hampir melengkapkan pelaksanaan 90 peratus syor laporan RCI.
Ujarnya, ia termasuk langkah memperkukuh tadbir urus, integriti, pengurusan kecairan dan pengurusan risiko institusi itu.
Beliau menambah, pelaksanaan syor berkenaan merupakan sebahagian daripada proses transformasi dan pembaharuan yang dilaksanakan TH sejak 2022 sebaik laporan RCI diterima.
“Tabung Haji mesti memastikan apa yang berlaku pada masa itu tidak berulang lagi. Jadi, bukan sahaja tadbir urus korporat menjadi isu, tetapi integriti juga merupakan satu isu yang penting.
“Pada asasnya, syor RCI adalah supaya mekanisme semak dan imbang dalam institusi ini diperkukuh bagi memberikan keyakinan kepada orang awam, selain memastikan ia bebas daripada sebarang campur tangan mana-mana pihak,” katanya.