BANGI – Lembaga Tabung Haji (TH) kini tidak lagi membenarkan penglibatan dan pelantikan ahli politik aktif dalam Lembaga Pengarahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, tindakan itu sebagai antara langkah pembaharuan dan penambahbaikan tadbir urus institusi itu.
“Langkah itu selaras dengan usaha memperkukuh tadbir urus TH, selain memastikan semua pelantikan ke Lembaga Pengarah dibuat berdasarkan amalan fit and proper sebagai mana dilaksanakan Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia,” katanya ketika Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji menerusi slot Tabung Haji: Pencapaian dan Strategi Masa Depan, di sini pada Khamis.
Dalam pembaharuan lain katanya, TH turut mewujudkan garis panduan pengagihan keuntungan dengan pengisytiharan keuntungan hanya dibuat selepas penyata kewangan diaudit.
Menurutnya, TH juga menubuhkan semula panel pelaburan pada 2021 dan memperhalusi dasar-dasar pelaburan.
Dalam pada itu katanya, berhubung status pelaksanaan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), 19 daripada 25 syor berkenaan telah diselesaikan atau dimuktamadkan, manakala enam lagi masih dalam tindakan.
Katanya, antara perkara yang masih dalam proses termasuk cadangan berkaitan dasar yang perlu dibawa ke Kabinet serta Parlimen.
“Lebih 90 peratus (pelaksanaan) sedang berjalan tetapi masih ada perjalanan yang panjang untuk membawanya ke Kabinet.
"Manakala enam syor berkenaan yang dalam tindakan antaranya melibatkan pindaan kepada Akta 535, mengehadkan skop pengawasan Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap TH dan memperkukuh proses tataterib.
"Selain itu ia merangkumi tindakan terhadap dasar pengeluaran simpanan, kelayakan haji secara automatik dan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) bersasar, meningkatkan jumlah simpanan pendaftaran haji kepada RM12,980 dan fungsi pelaburan di bawah ‘Dana Haji’," katanya.
Mustakim berkata, pembaharuan dan penambahbaikan yang dilaksanakan TH itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada isu sebelum tahun 2018 tetapi merangkumi tempoh selepas itu.
Beliau turut menegaskan usaha itu selaras dengan objektif TH antaranya mengurus dana pendeposit secara berhemah, memberikan perkhidmatan deposit yang cemerlang secara berterusan dan menjana pulangan patuh syariah yang mampan.
"Tanggungjawab kita adalah untuk memastikan simpanan para pendeposit selamat, Tabung Haji boleh membawa jemaah haji yang mampu untuk menunaikan haji dalam keadaan yang selamat dan baik.
"Kita mengakui kelemahan lalu dan menunjukkan kemajuan hari ini untuk membina semula keyakinan pendeposit, selain meneruskan komitmen terhadap pembaharuan yang dilaksanakan sejak 2018," katanya.