KENINGAU - Tiada sebarang kerosakan pada struktur bangunan yang diperiksa dan tiada kejadian runtuhan, kebakaran atau kecederaan mangsa dilaporkan susulan kejadian gempa bumi lemah yang berlaku di daerah ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 9.40 pagi.
Iklan
Iklan
Katanya, seramai tujuh anggota dikejar ke lokasi susulan panggilan yang diterima berhubung kejadian tersebut.
"Pasukan bomba telah menjalankan rondaan dan pemantauan melibatkan pemeriksaan di bangunan beli belah, bangunan perabot, pejabat kesihatan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.
"Hasil pemeriksaan mendapati tiada kerosakan struktur pada bangunan-bangunan yang diperiksa serta tiada kejadian runtuhan, kebakaran atau kecederaan mangsa dilaporkan," katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, beliau turut menasihatkan penduduk setempat agar sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan gegaran susulan serta memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang kerosakan atau kecemasan.
"Setelah pemeriksaan dan rondaan selesai dijalankan serta didapati keadaan di lokasi adalah selamat dan terkawal, pasukan bomba segera menamatkan operasi," katanya.