'Abang patut balik hari ini, janji bawa hadiah ulang tahun' – Luah isteri Loe Solo

Iklan
Gambar bersama suami yang dimuat naik Hani bersama hantarannya di media sosial pada Khamis.

PUTRAJAYA – “Abang patut balik hari ini. Abang dah janji nak bawa balik hadiah ulang tahun.”

Demikian luahan Hani Othman, isteri kepada Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai Loe Solo, yang masih menantikan kepulangan suaminya selepas gagal dihubungi susulan tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal, 26 Ogos lalu.

Iklan
Iklan

Lebih memilukan, hari ini iaitu 3 September, sepatutnya menjadi hari istimewa buat pasangan itu apabila mereka meraikan ulang tahun perkahwinan ke-10 selepas mendirikan rumah tangga pada tarikh sama pada 2016.

Menerusi hantaran di Facebook, Hani meluahkan kerinduan terhadap suaminya sambil mengimbas beberapa perancangan yang sudah disusun bersama.

Iklan

Hani turut berkongsi mengenai peperiksaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) TVET yang sepatutnya mereka hadapi Ahad ini.

Bukan itu sahaja, pasangan berkenaan turut mempunyai beberapa perancangan perjalanan dan impian yang mahu direalisasikan bersama.

Iklan

“Oktober kita sepatutnya menamatkan kursus Divemaster di Tioman. Bulan Mei abang kena bawa sayang pergi Rinjani. Bulan Ogos kita nak pergi Kilimanjaro pula,” tulisnya.

Menurut Hani, mereka juga pernah merancang untuk berlatih bersama sebelum merealisasikan impian Loe Solo menawan puncak Everest.

“Sayang dah cakap kat abang kan kita akan berlatih bersama-sama dan sayang akan teman abang kali ni sampai ke Puncak Everest.

“Impian abang hendak ke puncak Everest tak selesai lagi ni tau,” katanya.

Namun, di sebalik segala perancangan itu, Hani kini hanya mampu menunggu khabar daripada suaminya.

“Tolong la abang, di mana awak," luahnya.

Hantaran itu turut mendapat perhatian orang ramai yang menitipkan doa dan harapan agar Loe Solo serta rakyat Malaysia lain yang masih belum dapat dikesan dalam tragedi berkenaan ditemukan dalam keadaan selamat.

Perkembangan mengenai kumpulan rakyat Malaysia yang terjejas dalam tragedi di Nepal itu terus menjadi perhatian, dengan usaha mendapatkan maklumat dan mengesan mereka masih dijalankan pihak berkuasa.

Hani sebelum ini berlepas ke Kathmandu atas inisiatif sendiri bagi mendapatkan perkembangan secara langsung mengenai operasi mencari suaminya dan anggota kumpulan berkenaan yang masih gagal dihubungi selepas bencana melanda Nepal.

Keputusan itu dibuat kerana mahu berada lebih dekat dengan operasi pencarian dan tidak hanya menunggu perkembangan dari Malaysia.

Mohd Fakhrul bersama kumpulan rakyat Malaysia sedang dalam perjalanan menggunakan pacuan empat roda ke Everest Base Camp melalui laluan Tibet ketika bencana berlaku.

Timbalan Pengarah Bahagian Operasi JBPM, Mohd Sani Harul antara yang turut dilaporkan hilang dalam ekspedisi sama.