SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Seorang bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH) yang sepatutnya didakwa atas pertuduhan jenayah dipercayai berkait tadbir urus badan tersebut tidak hadir ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis kerana dimasukkan ke hospital akibat komplikasi jantung.
Peguam, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili individu bergelar Datuk itu, mengesahkan perkara berkenaan semasa prosiding di hadapan Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Beliau berkata, pihak pembelaan telah menghantar surat kepada mahkamah bagi memaklumkan bahawa anak guamnya dimasukkan ke sebuah hospital pada 31 Ogos lalu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
"Pakar perunding kanan hospital itu telah memeriksa anak guam dan mendapati beliau memerlukan ujian perubatan yang mengukur aktiviti serta irama elektrik jantung atau elektrokardiogram (ECG)," katanya yang hadir bersama peguam, Datuk Tania Scivetti dan Effa Azuin Aidrul Hisham.
Sementara itu, isteri individu berkenaan turut mengesahkan bahawa suaminya mengalami sakit dada yang menjadi semakin kerap pada hujung minggu lalu.
Datin berkenaan berkata, suaminya kini sedang menjalani angiogram di Pusat Pakar Universiti Malaya (PPUM).
"Doktor menasihatinya untuk terus menjalani pemeriksaan ECG setiap hari, jadi saya tidak pasti berapa lama beliau akan berada di hospital.
"Ia bergantung kepada hasil ujian dan nasihat pihak hospital," katanya yang memakai baju kurung berwarna hitam, ketika disoal oleh Hakim.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan menyerahkan budi bicara kepada mahkamah sama ada meneruskan prosiding pertuduhan di mahkamah atau hospital.
Bagaimanapun, Awang Kerisnada kemudiannya berkata, mahkamah menerima penjelasan isteri bekas COO TH itu.
"Mahkamah berpendapat pendakwaan tidak perlu dilakukan di hospital, biarkan beliau berehat di sana memandangkan situasinya agak serius.
"Mahkamah menangguhkan pendakwaan ini tiga minggu lagi iaitu pada 24 September," katanya.
Krisis kewangan TH bermula selepas timbul isu ketidakpadanan antara aset dan liabiliti yang membawa kepada pelaksanaan pelan pemulihan berskala besar.
Perkara itu disusuli penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu berbangkit, termasuk pelaburan pajakan hotel TH di Mekah dan Madinah.
Justeru, bermula 14 Ogos lalu, beberapa individu ditahan bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), antaranya bekas menteri, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat perkapalan, pengarah syarikat pembinaan, bekas pengarah syarikat serta empat bekas anggota pengurusan kanan TH.