GUA MUSANG - Konflik manusia-gajah di Pos Gob di sini berisiko berulang susulan kehadiran kumpulan kira-kira 40 ekor gajah liar ID Nenggiri yang menjadikan kawasan sekitar Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah sebagai habitat dan laluan semula jadi.
Risiko itu kembali mendapat perhatian apabila seekor gajah liar jantan dewasa menghampiri tapak perkhemahan kira-kira 150 peserta Kembara Rakyat Nenggiri pada 24 Ogos lepas, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk dan pengunjung di kawasan berkenaan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Wan Mohd Adib Wan Yusoh berkata, pihaknya akan menggerakkan anggota ke Pos Gob bagi menjalankan pemantauan serta penilaian awal susulan kejadian itu.
Beliau berkata Pos Gob merupakan perkampungan Orang Asli yang terletak dalam HSK Balah, dengan sebahagian kawasan penempatan berhampiran hutan yang menjadi habitat asal serta laluan semula jadi hidupan liar untuk mencari makanan dan bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.
"Gajah liar yang dikesan menimbulkan konflik di kawasan terbabit dikenal pasti berasal daripada kumpulan ID Nenggiri yang dianggarkan mempunyai populasi keseluruhan 40 ekor.
"Kehadiran haiwan tersebut boleh berlaku pada bila-bila masa, terutama ketika mencari makanan dan bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Wan Mohd Adib berkata, risiko ancaman terhadap keselamatan manusia akan meningkat sekiranya gajah menerima provokasi atau manusia berada terlalu dekat dengan haiwan berkenaan.
Beliau berkata, Perhilitan akan melakukan pemantauan rapi di lokasi sebelum mengambil tindakan susulan yang bersesuaian berdasarkan hasil penilaian lapangan.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang awam supaya tidak menghampiri, mengejar atau melakukan provokasi seperti membunyikan hon kenderaan dan menyuluh lampu ke arah gajah, sebaliknya memberi laluan dan memastikan jarak selamat jika mahu merakam gambar.
Pada 24 Ogos lepas, kira-kira 150 peserta rombongan Kembara Rakyat Nenggiri dikejutkan dengan kehadiran seekor gajah liar jantan dewasa yang menghampiri tapak perkhemahan mereka di Pos Gob kira-kira 4 pagi.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Madya Dr Kamarul Ariffin Kambali @ Hambali berkata, gangguan habitat akibat pembukaan tanah, perladangan dan projek pembinaan empangan air di Nenggiri berisiko tinggi meningkatkan kekerapan konflik manusia-gajah pada masa hadapan.
"Faktor utama gajah menghampiri penempatan adalah kerana kekurangan makanan di habitat asal yang terganggu. Sebagai langkah jangka panjang saya mencadangkan pembinaan bank makanan, khusus untuk gajah di dalam hutan bagi mengehadkan pergerakan mereka daripada memasuki kawasan manusia,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan situasi"menang-menang” itu juga boleh diperkukuhkan dengan pembinaan pagar elektrik atau tembok beg pasir bagi memisahkan zon penempatan masyarakat Orang Asli dengan laluan mamalia berkenaan.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, isu konflik hidupan liar di Pos Gob sudah berlarutan sejak dua tahun lepas dan menggesa penyelesaian komprehensif diambil segera oleh pihak berkuasa demi menjamin keselamatan penduduk di kawasan pedalaman. - Bernama