Pakar bimbang telur 'Raja Penyu' gagal menetas

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai 'Raja Penyu' kembali bertelurdi pantai Terengganu. Gambar kecil: Mohd Uzair

​KUALA TERENGGANU - Penemuan 44 biji telur penyu belimbing di pantai Marang pada 1 September lalu kini menjadi tumpuan utama pakar pemuliharaan marin apabila ia dianggap sebagai 'talian hayat' menentukan survival spesies gergasi berkenaan di perairan negara.

​Ketua Pusat Konservasi Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Uzair Rusli berkata, tumpuan dan fokus utama ketika ini bukan sekadar kehadiran semula induk berkenaan, sebaliknya terletak pada nasib 44 biji telur yang kini berada di Hatceri Rantau Abang.

Iklan
Iklan

​Menurut beliau, kebimbangan itu berasas memandangkan rekod pendaratan spesies yang digelar 'Raja Penyu' itu pada tahun 2017 di Terengganu menyaksikan kesemua telur yang dieramkan gagal menetas.

​"Sekiranya telur-telur ini berjaya berkembang dan menetas, maknanya jauh lebih besar daripada sekadar satu rekod pendaratan kerana ia membuktikan masih terdapat induk jantan dalam populasi berkenaan," katanya.

Iklan

​Mengulas lanjut, Mohd Uzair menjelaskan pengalaman Sea Turtle Research Unit (SEATRU-UMT) mendapati kejayaan penetasan penyu belimbing boleh sangat berubah-ubah antara sarang, malah sebahagian sarang langsung tidak menghasilkan anak akibat telur gagal disenyawakan.

Jelas beliau, ​isu penetasan ini menjadi amat kritikal memandangkan Terengganu yang pernah merekodkan lebih 10,000 sarang penyu belimbing setahun suatu ketika dahulu kini merosot drastik sehingga penemuan satu sarang sahaja sudah menjadi berita nasional.

Iklan

​Tambah beliau, analisis genetik serantau pada 2025 turut menunjukkan populasi penyu belimbing Malaysia mempunyai persamaan rapat dengan populasi Nicobar berbanding Thailand dan Papua Barat, sekali gus menjadikan sebarang kejayaan pembiakan di pantai negara sangat bernilai untuk ikhtiar pemuliharaan.

​"Kita juga berdepan persoalan saintifik sama ada penyu yang mendarat di Marang ini saki-baki populasi asal Terengganu atau individu dari populasi serantau.

​"Jika induk ini kembali bertelur lagi dalam musim ini, peluang itu perlu digunakan sepenuhnya untuk persampelan genetik, ukuran morfometrik dan pemasangan alat telemetri satelit," katanya.

​Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak terlalu awal membuat kesimpulan bahawa ekosistem pantai sudah pulih sepenuhnya hanya berdasarkan satu pendaratan.

"Masyarakat digesa memberi ruang dan mengurangkan sebarang gangguan seperti cahaya lampu serta kenderaan di pantai bagi membolehkan induk berkenaan mendarat semula dengan selamat dalam tempoh beberapa minggu akan datang," katanya.