KLANG – Sebuah kilang memproses kayu di Jalan Besar Kapar di sini terbakar dalam kejadian awal pagi Khamis.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 1.04 pagi.
"Seramai 24 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar serta bantuan BBP Klang Utara, BBP Klang Selatan, BBP Subang Jaya, BBP Pelabuhan Klang, BBP Bukit Jelutong, BBP Petaling Jaya bersama jentera digerakkan ke lokasi yang jaraknya sejauh lapan kilometer," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ashrul Riezal berkata, pihaknya tiba di lokasi sembilan minit kemudian mendapati kebakaran membabitkan sebuah kilang memproses kayu jenis kelas A berkeluasan kira-kira 1.619 hektar dengan anggaran 80 peratus kawasan terjejas.
"Kebakaran masih belum berjaya dikawal pada jam 3.40 pagi disebabkan tiada pili bomba di lokasi.
"Pemadaman dilakukan menggunakan lapan aliran pam tangki jentera dengan bantuan lori tangki air," katanya.