SHAH ALAM - Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman kini dibenarkan pulang ke rumah selepas lebih empat tahun menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Perkara itu dikongsikan rakannya yang juga bekas anggota kumpulan Brothers, Akbar Azmi menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman sosial Threads.
Akbar berkata, Yasin atau nama sebenarnya, Muhammad Yasin Sulaiman, 51, dipercayai dalam perjalanan pulang selepas dibenarkan keluar dari hospital berkenaan.
"Alhamdulillah, akhirnya setelah lebih empat tahun, Yasin Sulaiman atau dikenali sebagai Yasin Brothers sudah dibenarkan pulang dari hospital.
"Ya ALLAH, lama itu. Anak pun sudah besar. Alhamdulillah, sepatutnya 30 tahun dan pernah disabitkan untuk duduk dalam penjara. Ini semua kuasa ALLAH SWT, Yasin dapat lepas hari ini," katanya.
Pada 28 April tahun lalu, Yasin dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Rayuan, namun diperintahkan untuk ditempatkan semula di Hospital Bahagia Ulu Kinta sehingga diperkenankan Sultan Selangor.
Keputusan sebulat suara itu diputuskan panel tiga hakim diketuai Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali yang bersidang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin selepas menerima rayuan akhir yang dikemukakan Yasin.
Mahkamah Rayuan turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan terhadap Yasin selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.
Dalam pada itu Akbar turut memaklumkan, beliau sudah menghubungi Yasin yang ketika itu berada dalam perjalanan pulang dan dipercayai sudah menghampiri Tapah.
"Saya telefon dia tadi, dia dalam perjalanan, dekat Tapah. Nanti tunggu 'update' terbaru saya bersama beliau nanti, insya-ALLAH. Kami sangat gembira," ujarnya.