KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Syed Abdullah Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Space Dollah, meminta orang ramai supaya tidak lagi menyarankannya memakai solekan atau mendapatkan rawatan semata-mata untuk menutupi keadaan kulitnya yang mengalami vitiligo.
Abang kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed itu berkongsi pandangannya menerusi hantaran di Threads susulan komen yang mencadangkan supaya perubahan pada kulit wajahnya disembunyikan.
Menurutnya, keadaan kulit itu merupakan sebahagian daripada keunikan dirinya dan tidak melihat keperluan untuk menutupnya demi memenuhi pandangan orang lain.
“Dah lah, stop suruh aku pakai makeup ke, cari treatment ke, semata nak cover muka aku.
“ALLAH sudah jadikan muka aku ni art. So why would I wanna cover it?
Perkongsian itu turut mendapat perhatian pengguna Threads, termasuk seorang individu yang berkongsi pengalaman anak perempuannya berdepan situasi apabila seorang individu enggan berkawan dengannya kerana keadaan wajahnya.
Menurut individu itu, anaknya tidak bersedih dengan kejadian berkenaan, sebaliknya memberikan jawapan bahawa keadaan wajahnya merupakan ciptaan ALLAH SWT.
“Muka aku ini ALLAH yang buat tau, kau tak nak kawan aku sama macam kau tak nak kawan ALLAH,” tulisnya.
Mengulas perkongsian itu, Space Dollah membalas dengan menitipkan kata-kata semangat buat anak perempuan berkenaan.
“Tell her, she is a beautiful angel please - Uncle BASS,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna Threads turut berkongsi pengalaman suaminya yang berdepan ejekan dan kutukan disebabkan keadaan kulitnya, namun tetap kelihatan kacak di matanya.
Menurut individu itu, masyarakat barat menganggap golongan yang mengalami vitiligo sebagai unik, namun beliau kesal apabila masih ada segelintir masyarakat yang memberikan komen negatif tanpa memikirkan perasaan orang lain.
Membalas komen tersebut, Space Dollah berkata, suami individu berkenaan lebih kacak daripadanya, selain menyifatkan perubahan warna kulit itu sebagai keunikan yang terserlah.