'Integriti, penguatkuasaan mesti konsisten, bukan hanya lawan politik' - Mohd Hilmi

Iklan

GEORGE TOWN - Prinsip integriti dan penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan secara konsisten terhadap semua pihak tanpa mengira kedudukan atau parti politik.

Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias berkata, siasatan tidak seharusnya dijadikan ruang untuk membina persepsi politik kerana sesuatu siasatan atau pertuduhan tidak bermakna seseorang itu telah bersalah.

Iklan
Iklan

“Siasatan bukan sabitan. Pertuduhan bukan bermakna seseorang telah bersalah.

Mohd Hilmi menambah, UMNO tidak pernah menolak proses siasatan atau penguatkuasaan undang-undang sekiranya terdapat laporan, dakwaan atau persoalan munasabah yang memerlukan penelitian pihak berkuasa.

Iklan

"Jika Angkatan Muda Keadilan (AMK) mahu memperjuangkan integriti dan ketelusan, mereka juga perlu konsisten mempersoalkan perkembangan beberapa isu lain yang sebelum ini mendapat perhatian masyarakat.

"Ini termasuk perkembangan siasatan berhubung pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam eFishery, urus niaga saham dan dana awam, isu perlombongan di Sabah serta kes membabitkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin," ujarnya lagi.

Iklan

Beliau turut mempersoalkan status serta dapatan rasmi berkaitan isu ‘Mafia Korporat’ dan projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikaitkan dengan pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki.

“Dalam isu projek DBKL, SPRM sebelum ini dilaporkan tidak menemui unsur jenayah namun terdapat persoalan berkaitan kelemahan tatakelola.

“Persoalannya, apakah kelemahan tatakelola yang dikenal pasti dan apakah langkah pembetulan yang telah diambil?” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hilmi turut menyentuh kes ahli perniagaan, Nicky Liow dengan menegaskan bahawa sebarang persoalan yang masih timbul dalam kalangan rakyat wajar dijawab berdasarkan fakta, prosedur dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Tambahnya lagi, perbezaan hubungan politik tidak seharusnya menentukan bagaimana sesuatu isu integriti diberi perhatian.

“Jika AMK mahu mempersoalkan UMNO atas nama integriti, itu hak mereka. Tetapi integriti tidak boleh bersifat terpilih.

Beliau berkata, dalam soal penguatkuasaan undang-undang, standard yang sama perlu digunakan terhadap semua pihak kerana keadilan tidak boleh mempunyai warna politik.

“Kalau benar mahu memperjuangkan integriti, marilah kita lihat semua pihak dengan ukuran yang sama.

"Jangan kuman di seberang laut nampak, gajah di pelupuk mata tak nampak," katanya lagi.