MAIK bantu Nurul Atiqah kejar cita-cita jadi pendidik

Iklan
Muhamad Rasani (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan MAIK kepada Nurul Atiqah (kanan) serta datuk dan neneknya di rumah mereka di Kampung Tal Tujuh, Pasir Mas pada Rabu.

PASIR MAS - Pernah menyiapkan tugasan sekolah menggunakan telefon bimbit dan meminjam komputer riba rakan, Nurul Atiqah Husna Azli, 20, selangkah lebih dekat untuk merealisasikan impian bergelar guru selepas menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Nurul Atiqah yang bakal mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah) di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang dibesarkan oleh neneknya, Noriah Muhammad Zain, 66, dan datuknya, Abdul Ghani Museri, 70, sejak berusia dua bulan selepas ibu bapanya berpisah.

Iklan
Iklan

Datuknya tidak lagi bekerja sejak 2007 akibat kemalangan yang menyebabkan pergerakannya terbatas, manakala neneknya yang bekerja sebagai tukang sapu di sebuah sekolah rendah menamatkan perkhidmatan pada Jun lalu membuatkan Nurul Atiqah diuji dengan masalah kewangan untuk melanjutkan pengajian serta mengejar cita-citanya sehingga tukar di media sosial apabila kisahnya mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO).

Setiausaha MAIK, Muhamad Rasani Ramli berkata, pihaknya tampil menyalurkan Bantuan Am sebanyak RM1,200 kepada Nurul Atiqah, selain bantuan bulanan RM400 kepada datuk dan neneknya bermula Oktober depan.

Iklan

Menurut beliau, MAIK turut menyampaikan sumbangan RM3,000 bagi menampung persiapan melanjutkan pengajian ke universiti serta perbelanjaan sebelum menerima biasiswa pengajian selain bantuan barangan dapur.

"Gunakan peluang ini sebaik-baiknya. Apabila berjaya nanti, jadilah seorang pembayar zakat dan bantu pula mereka yang memerlukan.

Iklan

"Kami berharap sumbangan hasil amanah pembayar zakat ini dapat memberikan keselesaan kepada Nurul Atiqah sepanjang melanjutkan pengajian di USM, sekali gus menjadi suntikan semangat untuk melakar masa depan yang lebih cerah," katanya ketika mengunjungi kediaman pelajar itu di Kampung Tal Tujuh di sini pada Rabu.

Sementara itu Nurul Atiqah yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Mas memberitahu bantuan yang diterima bukan sahaja meringankan beban persiapan ke universiti, malah memberi kelegaan kepada datuk dan neneknya yang menjadi satu-satunya tempat bergantung selama ini.

"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada MAIK serta para pembayar zakat yang membantu merealisasikan impian saya untuk menyambung pengajian.

"Insya-ALLAH saya akan belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mengubah nasib keluarga dan menjadi pendidik yang berjasa kepada masyarakat," katanya.