SHAH ALAM - Tiga rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi susulan tragedi banjir kilat di kawasan sempadan Nepal-Tibet sepatutnya pulang ke tanah air pada hari ini selepas lapan hari mengikuti Lhasa Tour.
Perkara itu dikongsi rakan mereka, Muhammad Bakhtiar menerusi hantaran di Facebook pada Rabu yang memaklumkan tiga sahabatnya, Azman Karim, Dr Mohd Padzil Daros dan Muhamad Nasir Abdul Talib masih belum dapat dihubungi.
Bagaimanapun katanya, keluarga dan sahabat masih menunggu kepulangan mereka walaupun dalam keadaan yang penuh tanda tanya.
"Sudah beberapa hari berlalu sejak kejadian kepala air dan banjir yang begitu dahsyat melanda Nepal. Sejak itu, hampir setiap dua tiga jam saya membuka Instagram dan Facebook, mencari perkembangan terbaru.
Kementerian Luar pada Selasa memaklumkan, 55 rakyat Malaysia masih gagal dihubungi susulan banjir kilat dan tanah runtuh di daerah Rasuwa, Nepal, manakala keluarga mereka diberikan taklimat mengenai perkembangan usaha pencarian oleh Wisma Putra, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta agensi berkaitan.
Azman, Dr Mohd Padzil dan Muhamad Nasir merupakan sembilan rakyat Malaysia dikenali sebagai 'Team Loe' masih menjadi tanda tanya selepas kumpulan itu gagal dihubungi susulan banjir yang melanda kawasan Rasuwa, Nepal.
Mereka bersama enam lagi rakyat Malaysia termasuk Shabuddin Mun, Muhammad Haziq Ismail, Mohd Mohan Salim, Jason Ngeow, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa dan Mohd Sani Harul.
Tambah Muhammad Bakhtiar, sehingga catatan ini ditulis, tiga sahabatnya itu masih belum ditemui.
"Namun selagi belum ada berita sebaliknya, kami masih berharap, menunggu dan tidak akan berhenti berdoa.
"Ya ALLAH, lindungilah sahabat-sahabat kami. Permudahkanlah usaha pencarian dan kembalikanlah mereka kepada keluarga yang sedang menanti," ujarnya.
Dia memberitahu, pertama kali melihat rakaman kepala air disangkakan bencana itu video kecerdasan buatan (AI).
Ujarnya, begitu dahsyat dan pantas apatah lagu bangunan runtuh, lori dan bas dihanyutkan dalam sekelip mata.
"Seolah-olah tsunami di atas daratan. Sukar membayangkan sahabat-sahabat kita berada di tengah-tengah bencana sebesar itu," katanya.