RCI TH: Jangan hanya tahan menteri sahaja, siasat juga Asyraf Wajdi - AMK

Iklan
Dzul Hilmi (gambar kiri) bertanya kepada Asyraf Wajdi, adakah beliau pernah terlibat dalam mana-mana proses atau keputusan berkaitan dan apakah maklumat atau dokumen yang beliau boleh bantu jelaskan kepada pihak penyiasat. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Susulan penahanan bekas menteri oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Angkatan Muda Keadilan (AMK) berpendapat pihak berkenaan harus juga menyiasat Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang menjadi timbalannya pada masa itu.

Exco AMK, Dzul Hilmi Zainol berkata, siasatan itu tidak sepatutnya berhenti setakat itu sahaja dan kalau benar pihak berkuasa sedang menyiasat segala urusan dan keputusan yang berlaku ketika itu, maka semua pihak yang mempunyai kaitan wajar dipanggil dan diambil keterangan termasuk Asyraf Wajdi.

Iklan
Iklan

“Beliau hadir atas kapasiti sebagai timbalan menteri dan Ketua Jemaah Haji Malaysia, mewakili Menteri ketika itu. Jadi saya ingin bertanya, apa yang beliau tahu tentang urusan tersebut? Apa peranan beliau ketika itu?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, seorang bekas menteri tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi Rabu bagi menghadapi permohonan reman SPRM susulan siasatan berkaitan laporan RCI TH.

Iklan

Pada Selasa, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman mengesahkan penahanan individu tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Mengulas lanjut, Dzul Hilmi turut bertanya kepada Asyraf Wajdi, adakah beliau pernah terlibat dalam mana-mana proses atau keputusan berkaitan dan apakah maklumat atau dokumen yang beliau boleh bantu jelaskan kepada pihak penyiasat.

Iklan

Katanya, tiada apa yang perlu ditakutkan jika tidak terlibat dan tiada apa-apa kaitan dengan sebarang salah laku.

“Pihak berkuasa boleh panggil, soal dan ambil keterangan. Asyraf Wajdi perlu ambil peluang ini untuk membersihkan nama baik.

“Jika Asyraf Wajdi tidak disiasat maka rakyat terus tertanya-tanya dan membuat kesimpulan sendiri. Apa yang saya tidak mahu ialah rakyat melihat orang yang tidak terlibat dalam pentadbiran kerajaan disiasat manakala yang berada di dalam pentadbiran dibiar dan didiamkan begitu sahaja seolah-olah tidak perlu disentuh,” tegasnya.

Pada masa sama, kata Dzul Hilmi, undang-undang mesti sama untuk semua.

"Jangan kerana seseorang itu ada kedudukan politik, maka namanya tidak boleh disebut dan jangan pula kerana seseorang itu tidak berada dalam kelompok tertentu, maka dia lebih mudah dijadikan sasaran," ujarnya.

Oleh itu, beliau mendesak SPRM dan PDRM supaya menjalankan siasatan ini secara menyeluruh dan professional tanpa ada pilih kasih dan jangan melindungi sesiapa.

“Kalau tidak bersalah, lepaskan dan bersihkan nama. Tetapi jangan biarkan persoalan rakyat terus tergantung. Rakyat berhak tahu apa yang sebenarnya berlaku kepada institusi yang mereka amanahkan dengan wang dan harapan mereka.

“Ini bukan soal dendam politik. Ini soal amanah. Saya tidak meminta sesiapa dihukum tanpa bukti. Saya cuma mahu pihak berkuasa siasat semua yang berkaitan.

“Jangan ada double standard dan jangan ada sesiapa yang dikecualikan hanya kerana mempunyai kedudukan politik. Kalau benar kita mahu mencari kebenaran, jangan takut untuk buka semua pintu siasatan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi berkata, UMNO perlu berhenti mengadakan ‘sandiwara’ mengenai RCI TH dan Asyraf Wajdi perlu mengambil tanggungjawab untuk meletakkan jawatan dengan segera.

Ujar Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi, sebagai parti dalam kerajaan, UMNO sepatutnya menghormati dapatan RCI tersebut dan membantu dalam mencari siapa dalang yang menyakau institusi tersebut, daripada cuba mengelak daripada tanggungjawab. - Awani