JARINGAN desak kerajaan Kelantan jelaskan lokasi sebenar hutan simpan

Iklan
Dendi (dua dari kanan) bersama wakil JARINGAN lain serta Meor Razak (dua dari kiri) semasa sidang akhbar di Kota Bharu pada Rabu. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU - Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JARINGAN) mendesak Kerajaan Kelantan menjelaskan secara terbuka lokasi sebenar kira-kira 778,000 hektar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) yang didakwa masih dikekalkan.

Wakil JARINGAN, Nur Mohd Syafiq Dendi Abdullah berkata, penjelasan itu penting kerana keadaan di lapangan khususnya di Ulu Gua Musang didakwa jauh berbeza daripada gambaran bahawa kawasan hutan masih terpelihara.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pihaknya mahu kerajaan negeri mendedahkan peta serta status sebenar kawasan HSK berkenaan termasuk kawasan yang telah dinyahwartakan, ditukar status atau diberikan untuk aktiviti perladangan.

"Kita sebagai rakyat Kelantan memang berhak untuk tahu keluasan Hutan Simpan yang dimaksudkan. Sekarang kita lihat Hutan Simpan itu telah dibalak.

Iklan

"Di luar memang labelnya Hutan Simpan, tetapi di dalam sudah dibuat ladang dan sebagainya. Jadi kita nak tanya, di mana Hutan Simpan yang dimaksudkan?" katanya semasa sidang akhbar di sini pada Rabu.

Ujar beliau, kawasan yang menjadi perhatian JARINGAN antaranya Hutan Simpan Kekal Sungai Perias, Hutan Simpan Gunung Berangkat dan Hutan Simpan Kekal Kuala Betis yang turut mempunyai perkampungan Orang Asli.

Iklan

Dendi mendakwa aktiviti pembalakan berlaku di beberapa kawasan penempatan Orang Asli termasuk Kuala Vias, Pasik, Simpol, Kampung Depa, Tendrik, Bihai, Ber, Mendrop, Haed, Pulat dan Gob.

Katanya, keadaan itu bukan sahaja memberi kesan kepada kelestarian hutan, malah menjejaskan sumber air, tanaman, kawasan memburu serta hasil hutan yang menjadi sebahagian daripada kehidupan lebih 19,000 masyarakat Orang Asli.

"Dulu kerajaan Kelantan didakwa pernah menyatakan pembalakan dilakukan di luar kawasan perkampungan Orang Asli, sedangkan balak itu memang sudah berada dalam kampung Orang Asli dan menjejaskan kehidupan kami," katanya.

Dalam pada itu, beliau mendakwa terdapat kawasan hutan semula jadi yang dibuka untuk aktiviti tanaman komersial seperti akasia, getah klon, kelapa sawit, durian musang king dan kopi.

Menurutnya, hutan semula jadi tidak seharusnya disamakan dengan ladang tanaman komersial kerana fungsi ekologinya merangkumi biodiversiti, sumber air dan habitat hidupan liar.

Jelas beliau, kehilangan habitat turut menyebabkan konflik antara manusia dengan hidupan liar semakin kritikal apabila gajah, harimau dan beruang semakin menghampiri kawasan penempatan Orang Asli.

"Apabila habitat semula jadi hidupan liar semakin berkurangan, konflik menjadi semakin serius. Tanaman penduduk seperti padi bukit, jagung, sayur-sayuran dan pisang turut musnah akibat serangan gajah.

"Persoalannya, siapa yang menanggung kerugian masyarakat apabila habitat hidupan liar dimusnahkan tetapi hidupan liar terpaksa masuk ke kawasan kampung untuk mencari makanan dan laluan?" katanya.

Sehubungan itu, beliau mewakili JARINGAN mendesak kerajaan negeri menjalankan siasatan dan audit bebas terhadap kawasan hutan yang telah dibalak serta dibuka untuk perladangan.

Selain itu, ujarnya, mereka mahu kerajaan negeri menghentikan sementara kelulusan pembangunan baharu di kawasan yang mempunyai pertindihan atau tuntutan tanah dan wilayah adat Orang Asli sehingga proses pengiktirafan serta penyelesaian hak dilaksanakan.

Dendi turut menuntut supaya masyarakat Orang Asli diberikan maklumat dan peluang terlibat secara bermakna sebelum sebarang pembangunan yang memberi kesan kepada kehidupan mereka diluluskan.

"Kami bukan menentang pembangunan, tetapi pembangunan tidak boleh dilakukan dengan mengorbankan hutan semula jadi, sumber air, biodiversiti, kehidupan masyarakat dan hak tanah adat Orang Asli.

"Kami mahu kerajaan negeri turun sendiri ke lapangan dan melihat keadaan sebenar yang berlaku di Ulu Gua Musang. Jangan hanya melihat peta dan angka dari pejabat," katanya.