KOTA TINGGI - “Kami tidak tahu adik akan keluar berkhemah di tepi pantai, dia hanya maklumkan pergi bersama rakan-rakannya ke tempat lain."
Demikian luah Nur Adriana Dania Rumainoor, 24 kakak kepada Muhammad Thaqif Rayyan, 16, salah seorang daripada empat remaja lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar, di sini, pagi Rabu.
Nur Adriana berkata, dia menerima berita mengenai kejadian membabitkan adiknya selepas dimaklumkan rakannya kira-kira jam 7.30 pagi.
Menurutnya, kali terakhir dia berhubung dengan adiknya pada malam Selasa sebelum adiknya itu memaklumkan keluar bersama rakan-rakan.
Nur Adriana Dania memberitahu dia sangat rapat dengan adiknya yang juga anak bongsu daripada tiga beradik, lebih-lebih lagi selepas kematian ibu mereka lima tahun lalu.
Sementara itu, bapa Muhammad Thaqif, Rumainoor Salleh, 47, berkata, anaknya menunjukkan perubahan sejak seminggu lalu apabila lebih banyak menghabiskan masa berkurung di dalam bilik.
Dalam kejadian pagi Rabu, empat remaja lelaki berusia 16 tahun iaitu Alif Taqiuddin Kamal Hasrul, Mohamad Haiman Fitri Supian, Muhammad Adib Hafiy Kamal dan Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor dikhuatiri lemas selepas mandi-manda ketika berkelah di Pantai Tanjung Lompat.
Dua lagi rakan mereka, Mohamad Faqrul Isqandar Abdullah dan Muhammad Afiq Ruzaini Mazlan, 16, bagaimanapun berjaya diselamatkan orang awam.