Banjir Nepal: 38 rakyat Malaysia kunjungi Gunung Kailash selamat tiba di tanah air

Iklan
Anggota penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa. Foto fail AFP

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seramai 38 rakyat Malaysia yang berkunjung ke Gunung Kailash, Tibet, selamat tiba di tanah air pada Hari Kebangsaan selepas terpaksa melalui laluan alternatif yang mencabar susulan banjir besar dan tanah runtuh di sempadan Nepal-China.

Memetik laporan The Star, kesemua peserta yang mengikuti perjalanan bersama Polama Groups Travel & Tours Sdn Bhd itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam 31 Ogos selepas menempuh perjalanan pulang melalui Nepal.

Iklan
Iklan

Kumpulan berkenaan tiba di Kathmandu pada 15 Ogos sebelum meneruskan perjalanan darat ke sempadan Rasuwa dan memasuki Tibet bagi mengunjungi Tasik Manasarovar dan Gunung Kailash.

Bagaimanapun, perjalanan pulang mereka berdepan cabaran apabila laluan Rasuwa-Gyirong yang dirancang untuk digunakan mengalami kerosakan akibat banjir besar yang melanda kawasan sempadan Nepal-China pada 26 Ogos.

Iklan

Keadaan itu menyebabkan kumpulan berkenaan terpaksa menggunakan laluan alternatif melalui sempadan Tatopani-Kodari untuk memasuki semula Nepal.

Laluan tersebut turut terjejas akibat tanah runtuh susulan musim monsun, selain keadaan jalan berlumpur dan batu-batu yang jatuh, menyebabkan beberapa kawasan sukar dilalui kenderaan.

Iklan

Malah, ahli kumpulan terpaksa meninggalkan kenderaan dan berjalan kaki merentasi beberapa kawasan yang terjejas sebelum meneruskan perjalanan.

Salah seorang ahli kumpulan berkenaan yang juga Presiden Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM), Kalaivanan berkata, beliau menyaksikan sendiri tekanan yang dihadapi pasukan pelancongan ketika berusaha mencari laluan paling selamat untuk membawa kesemua jemaah pulang.

“Saya melihat tekanan, keletihan, air mata dan kekecewaan yang berlaku di sebalik tabir, namun Encik Dhaneswaran dan pasukannya terus berusaha mencari jalan yang selamat untuk membawa kami semua pulang,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Nepal-Tibet bukan sekadar aktiviti pelancongan atau pendakian, sebaliknya merupakan sebahagian daripada perjalanan keagamaan ke Gunung Kailash yang dianggap suci oleh penganut Hindu.

Kementerian Luar pada Selasa memaklumkan, 55 rakyat Malaysia masih gagal dihubungi susulan banjir kilat dan tanah runtuh di daerah Rasuwa, Nepal, manakala keluarga mereka diberikan taklimat mengenai perkembangan usaha pencarian oleh Wisma Putra, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta agensi berkaitan.

Mengulas lanjut, Kalaivanan berkata, walaupun 38 ahli kumpulan terbabit kekal selamat di Tibet, gangguan laluan berkenaan menimbulkan kebimbangan mengenai perjalanan mereka untuk kembali ke Nepal dan seterusnya ke Malaysia.

“Ada ketika kami dapat melihat betapa sukarnya laluan di hadapan. Sepanjang perjalanan, kami kekal tenang, saling menyokong dan mempercayai mereka yang bekerja di sebalik tabir.

“Bagi kami, kepercayaan kepada Tuhan memainkan peranan yang sangat penting,” katanya.

Selepas tiba di Kathmandu, kumpulan itu menerima bantuan daripada Kedutaan Malaysia di Nepal dengan Ketua Canseleri kedutaan, Muammar Taufiqi Mustapha, turut mengiringi mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan sebelum berlepas ke Kuala Lumpur.

Kalaivanan berkata, kehadiran pegawai Malaysia yang menunggu mereka di KLIA menjadi satu detik yang cukup menyentuh emosi.

“Kepulangan dengan selamat pada Hari Kebangsaan menjadikan kepulangan ini lebih bermakna buat kami semua,” katanya.

Dalam pada itu, ahli kumpulan berkenaan turut merakamkan penghargaan kepada Wisma Putra, Kedutaan Malaysia di Nepal dan Beijing serta pasukan pelancongan, pemandu pelancong dan pemandu kenderaan yang membantu memastikan perjalanan pulang mereka berjalan dengan selamat.