SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan memutuskan untuk mengecualikan bayaran lesen penjaja pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi semua penjaja termasuk pengusaha trak makanan (food truck) selama setahun bermula tahun hadapan.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, keputusan itu dibuat sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri dalam meringankan beban golongan penjaja yang berdepan peningkatan kos sara hidup.
"Satu inisiatif baharu kita telah putuskan iaitu pengecualian bayaran lesen penjaja PBT melibatkan semua penjaja termasuk 'food truck' selama setahun bermula 1 Januari 2027.
"Ia sememangnya memberikan implikasi kewangan yang agak banyak kepada semua PBT, tetapi untuk kita memberi peluang kepada penjaja berikutan kenaikan kos minyak dan sebagainya, kita telah pertimbangkan untuk memberikan percuma (lesen) tahun hadapan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Kerajaan Negeri(MMK) di sini pada Rabu.
Bagaimanapun, katanya, caj lain seperti parkir dan kebersihan masih perlu dibayar seperti biasa.
Menurutnya, penjaja juga perlu mematuhi syarat yang ditetapkan, antaranya tidak menghalang lalu lintas dan laluan pejalan kaki di hadapan kedai serta menjaga kebersihan ketika menjalankan perniagaan.
Tambahnya, inisiatif berkenaan dapat memberi manfaat kepada seramai 7,386 penjaja di seluruh Negeri Sembilan dengan Seremban merekodkan jumlah tertinggi.
"Berdasarkan rekod setakat tahun ini, seramai 3,684 penjaja berlesen berada di bawah Majlis Bandaraya Seremban (MBS), diikuti Majlis Perbandaran Port Dickson (1,355 orang), Majlis Perbandaran Jempol (459 orang), Majlis Daerah Tampin (639 orang), Majlis Daerah Kuala Pilah (610 orang), Majlis Daerah Rembau (478 orang) dan Jelebu (181 orang)," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, kerajaan negeri turut memutuskan untuk menangguhkan serta-merta pelaksanaan bayaran tambahan konservasi di Taman Eko Rimba di seluruh Negeri Sembilan sehingga satu keputusan baharu dibuat kelak.
Jelasnya, penangguhan tersebut dibuat memandangkan Negeri Sembilan masih berada dalam tempoh Tahun Melawat Negeri Sembilan selain mengambil kira rungutan orang ramai.
"Sebenarnya, ia adalah satu bayaran konservasi Taman Eko Rimba yang telah diputuskan oleh Jabatan Perhutanan.
"Untuk itu, dalam Mesyuarat MMK hari ini juga kita telah tangguhkan dengan serta-merta kenaikan RM3 itu sehingga satu keputusan lain yang akan dibuat pada masa akan datang.
"Ia termasuk beberapa Taman Eko Rimba lain yang telah dikuatkuasakan termasuk di Taman Eko Rimba Lenggeng dan Ulu Bendul," katanya.