KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang dipercayai melarikan diri ketika polis cuba menahan sebuah kenderaan dalam kejadian di Sri Petaling, Isnin lalu akhirnya diberkas dalam tangkapan susulan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Polis Hoo Chang Hook berkata, suspek lelaki berusia 32 tahun itu mempunyai 20 rekod lampau berkaitan jenayah dan enam rekod berkaitan dadah.
"Permohonan reman telah dibuat dan diluluskan selama tujuh hari sehingga 8 September 2026.
Sebelum ini, sebuah Ford Ranger berwarna hijau dikesan mencurigakan oleh anggota Polis Trafik Lebuhraya Kesas Bukit Aman ketika rondaan kira-kira jam 9.30 pagi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, anggota polis kemudian memberikan isyarat supaya kenderaan terbabit berhenti namun pemandunya terus memecut.
Menurutnya, polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kenderaan terbabit ketika mengejarnya dari Tol Awan Besar menghala ke Klang (Barat) sehingga ke Jalan Hang Tuah 4, Sri Petaling.
Fadil berkata, suspek kemudiannya melarikan kenderaan memasuki Jalan Hang Tuah 4 sebelum hilang kawalan lalu melanggar sebuah kereta Mazda berwarna kelabu.
Susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia 29 tahun berjaya ditahan, manakala seorang lagi suspek yang dipercayai pemandu kenderaan terbabit melarikan diri.
Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu menemukan pelbagai barang dan peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel, selain kabel yang dipercayai telah dicuri.
Tambahnya, suspek yang ditahan itu mempunyai 37 rekod jenayah lampau dan turut dikesan sebagai orang dikehendaki.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307, Seksyen 427 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.