PUTRAJAYA - Seorang bekas menteri antara 11 individu ditahan melibatkan lapan kertas siasatan terbaharu yang dibuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermula 10 Ogos lalu susulan pendedahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (LTH).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, kebanyakannya siasatan melibatkan isu pelaburan yang bermasalah dan kini masih dalam siasatan.
Menurutnya, daripada lapan kertas siasatan tersebut, seramai 11 orang telah ditangkap iaitu bekas Pengarah Urusan LTH, Pengarah Syarikat Putrajaya Perdana, bekas Pengarah Putra Perdana Construction Sdn Bhd, bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, bekas Pengarah Putrajaya Perdana Berhad serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Alam Maritim Sdn Bhd.
"Turut ditahan ialah bekas Pengurus Besar Kanan Haji LTH, bekas Pengurus Besar Kanan Bahagian Korporat Kewangan dan Perkhidmatan LTH, bekas Pengurus Besar Kanan Bahagian Korporat Kewangan dan Perkhidmatan LTH, bekas Penasihat Undang-Undang LTH serta bekas menteri," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM pada Rabu.
Beliau berkata, lapan isu dibangkitkan iaitu dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan pelaburan LTH dalam TH Marine, TH-Alam dan TH Alam Management berjumlah RM334.2 juta selain pelaburan LTH dalam Alfareeda Residential Fund berjumlah Saudi Riyal 76 juta.
Tambahnya, selain itu ialah pelaburan dan pajakan LTH dalam Al-Rawda Real Estate Development & Project Management Co Ltd. di Mekah dan Madinah berjumlah Saudi Riyal 2.49 bilion.
"Isu lain antaranya pembayaran bonus RM2.2 juta tanpa kelulusan board di TH Properties Sdn Bhd, dakwaan rasuah dalam THHR dan LTH berhubung dengan penyerahan aset-aset TH kepada UJSB bernilai RM804.1juta," ujarnya.
Abd Halim berkata, daripada jumlah tangkapan tersebut, enam individu telah direman.
"Bagaimanapun tiada sebarang sitaan barangan berharga atau pembekuan akaun dilakukan kecuali sitaan beberapa dokumen yang berkaitan.
"Selain tangkapan, seramai 130 orang saksi telah dipanggil bagi dirakam percakapan," ujarnya.
Dalam pada itu, Abd Halim tidak menolak kemungkinan terdapat kertas siasatan yang dijangka didakwa pada minggu hadapan membabitkan golongan kenamaan serta pernah direman SPRM sebelum ini.
Jelas beliau, secara keseluruhan sejak pasukan khas SPRM ditubuhkan pada 31 Julai lalu bagi menyiasat isu ini, seramai 18 individu telah ditangkap dan 11 orang telah ditahan reman, selain 245 saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan ini.
"Sebanyak 60 buah premis telah dimasuki bagi mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan siasatan ke atas 14 kertas siasatan yang dibuka.
"Siasatan masih berjalan dan saya mohon agar semua pihak dapat memberi ruang dan sokongan kepada SPRM dalam kami melaksanakan siasatan ini secara bebas dan adil," ujarnya.