SUNGAI SIPUT – Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang ditemui maut di bawah Jambatan Victoria, Kuala Kangsar pada Isnin.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 selain diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Menurutnya, siasatan masih dijalankan termasuk mengambil keterangan daripada saksi yang berada di lokasi kejadian.
ARTIKEL BERKAITAN: Budak 3 tahun maut di Jambatan Victoria
"Hasil keterangan saksi yang ada setakat ini mendapati kanak-kanak berkenaan terperosok ke dalam lubang pada jambatan tersebut ketika berjalan.
"Bagaimanapun memang tiada unsur khianat dalam kejadian berkenaan," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput pada Rabu.
Mohd Alwi berkata, pihaknya masih menunggu keputusan bedah siasat bagi membantu siasatan lanjut berhubung punca kematian mangsa.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemui maut di bawah Jambatan Victoria di Enggor, Kuala Kangsar pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Abdul Rafee Abdul Halim disahkan meninggal dunia Hospital Kuala Kangsar.